PUTRAJAYA - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyasarkan Akta Kredit Pengguna dibentangkan di Dewan Rakyat pada tahun ini.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pada ketika ini, akta itu telah selesai di peringkat kementerian dan sedang digubal oleh Jabatan Peguam Negara (AGC).
"Kita tahu proses penggubalan memakan masa sebab itulah kementerian harap dapat dibentangkan pada tahun ini walaupun tidak menetapkan tempoh masa," katanya kepada pemberita selepas sesi ramah mesra bersama rakan strategik kepenggunaan KPDNHEP di kementeriannya di sini hari ini.
Menurutnya, sekiranya diluluskan, ia akan menjadi akta yang akan mengurus dan mengawal selia aktiviti pemberi pinjaman.
"Ia akan meliputi semua perkara termasuklah perlindungan, tatacara dan proses," katanya.
Beliau berkata, dengan adanya kata ini, aspek pemberi pinjaman akan menjadi lebih baik.
"Itulah yang kongsikan dengan rakan strategik hari ini. Ternyata ia menggamit beberapa reaksi menarik," katanya.
Ditanya adakah akta tersebut merangkumi 13 akta berkaitan sedia ada, Saifuddin berkata, ia akan dimuktamadkan kelak.
"Dari segi penggubalannya, ia mengambil kira kesemua peruntukan-peruntukan yang ada di dalamnya.
"Jadi sama ada ada ia berakhir dengan akta tunggal, atau dibacakan bersama ia akan dimuktamadkan," katanya.
Terdahulu dalam sesi itu, Saifuddin mendedahkan tanggungan bagi setiap isi rumah adalah tinggi berikutan bebanan hutang.
"Ini adalah antara ikhtiar kerajaan untuk membendung hutang isi rumah yang membengkak dan sekali gus menyebabkan keadaan 'tidak sihat' kepada rakyat," katanya.
Turut hadir pada majlis itu, Timbalan Menterinya, Chong Chieng Jen dan Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Hasnol Zam Zam Ahmad.
Sesi libat urus itu merupakan komunikasi dua hala kementerian dan pemegang taruh, rakan strategik, peniaga, pengguna dan badan bukan kerajaan.