KPDN Terengganu rampas 153kg minyak masak subsidi dijual tanpa lesen

Iklan
Anggota penguat kuasa KPDN Terengganu merampas 153 kg minyak masak bersubsidi yang dijual tanpa lesen di sebuah premis di daerah Kuala Terengganu.

KUALA TERENGGANU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu merampas 153 kilogram minyak masak paket bersubsidi di sebuah premis di sini selepas barangan itu didapati dijual tanpa lesen dan melebihi harga kawalan.

Pengarahnya, Saharuddin Mohd Kia berkata, tindakan itu diambil ke atas sebuah premis runcit di Kampung Banggol, Tok Jiring di sini pada jam 6 petang Ahad.

Iklan
Iklan

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati premis tersebut tidak memiliki lesen yang sah daripada Pengawal Bekalan Malaysia bagi menjalankan urus niaga barangan kawalan tersebut.

"Kita dapati premis tersebut ada menjual barang kawalan bersubsidi iaitu minyak masak peket satu kilogram tanpa lesen.

Iklan

"Minyak masak peket bersubsidi itu juga dijual pada harga RM2.80 sekilogram iaitu melebihi harga kawalan ditetapkan oleh pihak kementerian iaitu RM2.50 bagi setiap peket," katanya di sini pada Isnin.

Beliau berkata, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM382.50.

Iklan

Katanya, kertas siasatan berhubung kes dibuka dan siasatan lanjut dijalankan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

"Semua peniaga diberi amaran agar tidak mengenakan pembelian bersyarat kepada pelanggan yang ingin membeli minyak masak peket bersubsidi.

"Peruncit hanya dibenarkan mengehadkan kuantiti pembelian minyak masak polibeg bersubsidi bagi setiap individu tanpa sebarang syarat pembelian agar lebih ramai pengguna boleh menikmati subsidi yang diperuntukkan oleh kerajaan di bawah Skim Penstabilan Harga Minyak Masak Bersubsidi (COSS)," katanya.

Dalam pada itu, Saharuddin berkata, minyak masak peket bersubsidi merupakan kegunaan isi rumah dan bukan bagi tujuan perniagaan.

Katanya, bekalan minyak masak tersebut di negeri ini mencukupi dan tidak berhadapan dengan masalah.

"Bekalan minyak masak polibeg bersubsidi ini juga boleh diperolehi di setiap lokasi Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) yang dijalankan secara berjadual di semua Parlimen dan DUN di Terengganu," ujarnya.

Sementara itu, beliau menegaskan, mana-mana individu yang dikesan melakukan kesalahan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122).

"Jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1 juta manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

"Bagi syarikat pula, sekiranya disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2 juta manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta," katanya.