Sindiket seludup rokok, minuman keras bernilai RM4.9 juta tumpas

Iklan
Muhammad Ilyas(tengah) menunjukkan rokok dan minuman keras yang dirampas(ihsan Kastam)

SEREMBAN - Jabatan Kastam Diraja Malaysia(JKDM) Negeri Sembilan menumpaskan sindiket penyeludupan rokok dan minuman keras bernilai lebih RM4.9 juta dalam tiga serbuan bulan lalu.

Pengarah Kastam Negeri Sembilan, Muhammad Ilyas Queek Abdullah berkata, kes pertama melibatkan rampasan 5,280 tin minuman keras dalam pemeriksaan ke atas sebuah lori bonded jenis Isuzu di kawasan perumahan Jenjarom, Selangor.

Iklan
Iklan

"Lori berkenaan didapati mempamerkan nombor pendaftaran palsu manakala kesemua minuman keras tersebut tidak mempunyai label cukai dan disyaki barangan larangan import.

"Kesemua barang kes bersama lori berkenaan telah disita di bawah Seksyen 114 Akta Kastam 1967 untuk siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Iklan
Muhammad Ilyas (kanan) melihat minuman keras dan rokok yang dirampas

Menurutnya, susulan penyitaan lori berkenaan, sepasukan anggota telah melakukan pemeriksaan pula ke atas kontena di Jenjarom dan telah menjumpai 26,328 tin minuman keras.

Ujarnya, kesemua minuman keras terbabit juga tidak mempunyai label cukai dan disyaki barang larangan import.

Iklan

"Jumlah nilai keseluruhan barang sitaan bagi kes pertama dan kedua termasuk cukai dianggarkan sebanyak RM600,157.32.

"Modus operandi sindiket adalah membuat pengikraran tidak benar ke atas muatan kontena yang diimport bagi mengelak untuk membayar cukai," katanya.

Ujarnya, serbuan ketiga di sebuah gudang di kawasan Taman Perindustrian Puchong, Selangor telah menjumpai sejumlah 287,500 paket rokok putih yang tidak mempunyai label cukai.

Tambahnya, jumlah nilai keseluruhan rokok yang disita termasuk cukai dianggarkan RM4.4 juta.

"Modus operandi sindiket adalah rokok tersebut diseludup dan dipercayai telah dibawa masuk ke negara ini tanpa melalui prosedur pengimportan yang sah.

"Sindiket akan menyimpan di dalam gudang sebelum diedarkan dan dijual di pasaran tempatan," katanya.

Beliau berkata, kesemua kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967 dan Akta Eksais 1976.