Kerajaan digesa naikkan cukai eksais, harga rokok

Iklan
FPMPAM dan AMAM menggesa kerajaan untuk menaikkan cukai eksais dan harga minimum rokok bagi tujuan mengekang penggunaan tembakau.

SHAH ALAM - Kerajaan digesa untuk menaikkan cukai eksais dan harga minimum rokok bagi tujuan mengekang penggunaan tembakau serta meningkatkan hasil negara.

Presiden Gabungan Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Malaysia (FPMPAM), Dr Shanmuganathan Ganeson berkata, gesaan tersebut dilakukan susulan harga minimum rokok tidak berubah pada RM12 sekotak sejak tahun 2020.

Iklan
Iklan

"Menaikkan harga minimum kepada paras yang lebih tepat iaitu RM13 atau RM13.50 akan membantu mengukuhkan keberkesanan langkah kawalan tembakau dan seterusnya mengurangkan kadar merokok.

"Sementara itu, meningkatkan cukai eksais terhadap rokok juga penting untuk mencapai matlamat kesihatan awam negara kerana ia terbukti dapat mengurangkan kadar merokok,” katanya dalam satu kenyataan bersama Persatuan Perubatan Ketagihan Malaysia (AMAM) pada Isnin.

Iklan

Tambah Shanmuganathan, tindakan tersebut akan menghalang perokok baharu daripada melakukan tabiat itu dan secara tidak langsung mendorong kepada kesihatan jangka masa panjang.

Menurutnya, langkah itu bukan sahaja mengenai hasil sebaliknya sebagai alat kesihatan awam yang kritikal dalam memerangi penyakit berkaitan merokok.

Iklan

"Kerajaan harus mempertimbangkan untuk melaksanakan cukai berstruktur dan boleh diramal meningkat setiap tahun pada kadar tetap.

"Pendekatan ini menyediakan kaedah jangka panjang dan mampan untuk mengurangkan penggunaan tembakau dan mengukuhkan objektif kesihatan awam,” ujarnya.

Pada masa sama, Presiden AMAM, Steven Chow turut menggesa kerajaan untuk memasukkan pelarasan itu dalam Belanjawan 2025 sebagai langkah penting mengurangkan kadar merokok dan meningkatkan hasil kesihatan awam di Malaysia.

"Tindakan ini (menaikkan harga rokok dan cukai eksais) apabila digabungkan dengan usaha kawalan tembakau yang lebih luas akan membantu melindungi generasi akan datang daripada kesan bahaya merokok.

"Usaha ini sejajar dengan komitmen negara untuk menjaga kesihatan dan kesejahteraan rakyatnya,” jelas Steven.