Tiga maut dirempuh pacuan empat roda ketika baiki treler rosak

Iklan
Anggota bomba dari BBP Lipis memberi bantuan awal kepada mangsa yang terlibat dalam kemalangan di di Jalan Merapoh - Kuala Lipis, Lipis pada awal pagi Isnin.

LIPIS - [DIKEMAS KINI] Dua pemandu treler dan seorang kelindan maut akibat dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda ketika membaiki treler rosak di Kilometer 57, Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (LTU) berhampiran Kampung Gua Tagang, Merapoh di sini pada awal pagi Isnin.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Ismail Man berkata, mangsa yang maut terdiri pemandu treler yang rosak, Mohd Izani Mohd Yusoff, 31, pemandu sebuah lagi treler, Mohd Aizad Rosdi, 27 dan kelindannya, Rushaidee Rosli, 22.

Iklan
Iklan

Salah seorang mangsa berada di hadapan Toyota Hilux yang terbabit nahas di Jalan Merapoh-Kuala Lipis, Lipis pada awal pagi Isnin.

Menurutnya, kesemua mangsa yang berasal dari Pasir Putih dan Tanah Merah, Kelantan itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Iklan

"Dalam kemalangan pada jam 2.35 pagi itu, pemandu kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux, Mohd Khairul Azhar Mohd Noor dan kelindan treler rosak, Wan Muhammad Syafiq Wan Hanafi mengalami cedera parah.

Anggota bomba dari BBP Lipis memberi bantuan awal kepada mangsa yang terlibat dalam kemalangan di di Jalan Merapoh - Kuala Lipis, Lipis pada awal pagi Isnin.

Iklan

"Siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku ketika treler membawa muatan kayu dipandu Mohd Izani bersama kelindan dalam perjalanan dari Tanah Merah, Kelantan menghala ke Selangor.

"Ketika tiba di lokasi kejadian, kenderaan dipandu mengalami kerosakan brek sebelum berhenti di bahu jalan di susur keluar Kampung Merapoh untuk dibaiki," katanya melalui kenyataan pada Isnin.

Anggota bomba dari BBP Lipis memberi bantuan awal kepada mangsa yang terlibat dalam kemalangan di di Jalan Merapoh - Kuala Lipis, Lipis pada awal pagi Isnin.

Ismail berkata, Mohd Aizad dan Rushaidee yang menaiki treler dari syarikat sama tiba di lokasi dan berhenti di hadapan treler yang rosak untuk membantu membaikinya.

"Ketika ketiga-tiga mangsa melakukan kerja-kerja pembaikan, sebuah kenderaan pacuan empat roda dari arah sama dipercayai hilang kawalan lalu terbabas melanggar bahagian belakang treler sebelum merempuh mangsa.

"Akibat rempuhan itu, ketiga-tiga mangsa cedera parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.

Tambah beliau mayat mangsa dihantar ke Hospital Lipis untuk proses bedah siasat.

"Mangsa yang parah menerima rawatan di Hospital Lipis dan Hospital Gua Musang," katanya.

Sementara itu katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kemalangan itu diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lipis di talian 09-3121999 atau mana-mana balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian jam 2.44 pagi.

Menurutnya, sepasukan anggota bomba bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lipis ke lokasi yang berada 84 kilometer dari balai sebelum tiba ke tempat kejadian kira-kira sejam kemudian untuk operasi menyelamat mangsa terlibat.