MELAKA - Polis nafi dakwaan yang mengatakan terdapat penemuan mayat lelaki tanpa pakaian dipercayai dibunuh di Klebang dekat sini.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, setakat ini kematian lelaki tempatan berusia 71 tahun itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) disebabkan sakit jantung.
Iklan
Iklan
Menurutnya, polis menerima laporan berhubung kejadian kira-kira jam 6.20 petang itu mengenai seorang lelaki tidak sedarkan diri di kawasan tanah lapang tepi Pantai Eye On, Melaka pada Rabu sebelum tular pada Ahad.
"Pemeriksaan yang dilakukan pada tubuh badan si mati dan kawasan sekitar mendapati tiada sebarang unsur perbuatan jenayah.
"Orang ramai dinasihatkan tidak menyebarkan sebarang berita palsu yang boleh menimbulkan ketakutan dan keresahan dalam kalangan masyarakat," katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Sejak Ahad, tular klip video berdurasi 14 saat seorang lelaki mendakwa berlaku kejadian bunuh di kawasan berpasir tambak laut itu.
Video itu juga memaparkan anggota polis tiba di lokasi penemuan mayat itu selain mengundang pelbagai reaksi orang ramai sehingga takut untuk ke kawasan tumpuan kaki pancing.