BEKAS Presiden Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC) Datuk Dr PS Nathan meninggal dunia pada usia 90 tahun, petang Ahad.
Berita duka itu diumumkan MTBC yang menyifatkan pemergian mendiang sebagai satu kehilangan besar buat seluruh komuniti boling negara.
Iklan
Iklan
"Beliau seorang pemimpin, mentor dan pembimbing yang hebat dalam komuniti boling.
"Kepimpinan berwawasan beliau bukan sahaja mengangkat boling Malaysia ke tahap bertaraf dunia malah memberikan inspirasi kepada ramai individu yang berpeluang menimba ilmu daripadanya.
"Sumbangan beliau kepada sukan itu, di arena tempatan dan global, tidak ternilai,” menurut kenyataan itu.
Sebagai rekod, Nathan mengasaskan MTBC pada 1974 dan sejak itu menerajui badan induk tersebut sebelum meletakkan jawatan Mei lalu.
Mendiang meninggalkan seorang balu, seorang anak lelaki dan seorang anak perempuan.