UAE terus sokong penjagaan kesihatan di Gaza dengan kerjasama WHO

Iklan
UAE telah menyediakan 12 tan bantuan perubatan, ubat-ubatan dan bekalan penting kepada WHO untuk menyokong hospital serta institusi penjagaan kesihatan di Gaza. Foto Agensi

ABU DHABI - Hospital medan Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Rafah mengalu-alukan kunjungan delegasi Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk menilai inisiatif perubatan, mewujudkan mekanisme kerjasama, bertukar pengetahuan serta menyerlahkan sumber dan peralatan perubatan UAE yang didedikasikan untuk meringankan penderitaan rakyat Palestin di Gaza.

Agensi Berita Emirates (WAM) melaporkan bahawa sebagai sebahagian daripada Operasi 'Chivalrous Knight 3' yang sedang berlangsung, UAE telah menyediakan 12 tan bantuan perubatan, ubat-ubatan dan bekalan penting kepada WHO untuk menyokong hospital serta institusi penjagaan kesihatan di tengah-tengah situasi yang mencabar di Gaza.

Iklan
Iklan

Semasa pertemuan itu, kedua-dua pihak bersetuju mengenai kepentingan menyelaraskan usaha bersama untuk memindahkan mangsa yang cedera dan mengesahkan komitmen hospital untuk terus menerima pesakit bagi memenuhi keperluan kesihatan kritikal di Gaza.

Mereka juga bersetuju untuk bekerjasama bagi memastikan bekalan bantuan perubatan yang berterusan dan menangani kekurangan penjagaan kesihatan.

Iklan

Kedua-dua pihak turut membincangkan rancangan perubatan bagi membantu rakyat Palestin, termasuk penyediaan perkhidmatan perubatan penting, mewujudkan mekanisme penyelarasan untuk menyokong sektor penjagaan kesihatan serta membantu kanak-kanak yang menghidap kanser dengan memudahkan rawatan mereka di luar negara selain membekalkan ubat-ubatan dan peralatan perubatan yang diperlukan.

Lawatan itu merupakan bukti kepada misi kemanusiaan berterusan hospital medan UAE dan komitmennya untuk memperkukuh kerjasama perubatan dengan WHO. Sejak penubuhannya, hospital berkenaan telah memainkan peranan penting dalam menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan di Gaza.

Iklan

Delegasi WHO memuji usaha kemanusiaan UAE dalam penjagaan kesihatan dan komitmennya yang tidak berbelah bahagi untuk menyediakan bantuan perubatan kepada mereka yang cedera di Gaza, walaupun dalam keadaan yang mencabar. - Bernama