'Tak adil hukum semua pemimpin hanya kerana seorang pemimpin' - Nie Ching

Iklan
Nie Ching (dua dari kanan) membuat lawatan di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di Taman Ilham Kluang pada Isnin.

KLUANG - Pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota diingatkan tidak menghukum keseluruhan pemimpin Kerajaan Perpaduan dan kerajaan negeri kerana 'kurang selesa' dengan seorang pemimpin.

Iklan
Iklan

Ketua Wanita DAP, Teo Nie Ching berkata, hakikatnya masih ramai pemimpin di peringat Persekutuan dan negeri yang bersungguh-sungguh dan ikhlas membangunkan negara dan Johor.

Beliau yang juga Naib Pengerusi DAP Johor mengakui masyarakat Cina ketika ini 'tidak gembira' dengan kenyataan pemimpin berkenaan yang baru-baru ini mencetuskan kontroversi.

Iklan

"Apa yang lebih penting kami (kerajaan) mempunyai banyak pemimpin-pemimpin lain yang hendak buat terbaik untuk Johor dan Malaysia.

"Begitu juga di Kluang, ada wakil rakyat yang terbaik mahu berkhidmat kepada pengundi dan rakyat," katanya pada sidang akhbar di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Taman Ilham di sini pada Isnin.

Iklan

Nie Ching yang merupakan Timbalan Menteri Komunikasi berharap pengundi di DUN Mahkota bersikap adil dan melihat keseluruhan pemimpin di peringkat Pusat dan negeri.

"Ya, kadang-kala kita marah sangat dengan seseorang pemimpin tetapi bagaimana dengan pemimpin, yang ikhlas yang memang bersungguh bekerja sebagai Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Adakah adil untuk menghukum semua pemimpin yang bagus hanya kerana seseorang?" ujarnya.

Sebelum itu Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dilaporkan berharap pengundi Cina tidak menghukumnya dengan tidak keluar mengundi pada pilihan raya kecil DUN ini.

Onn Hafiz berkata, beliau menerima laporan daripada komuniti perniagaan yang menyatakan pengundi Cina di Mahkota kurang berminat untuk mengundi kali ini.

Dipercayai isu yang dimaksudkan Onn Hafiz merujuk kontroversi pensijilan halal antara Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh dan Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok.

Sebelum kempen pilihan raya kecil Mahkota bermula, terdapat kebimbangan bahawa serangan Akmal terhadap Kok mungkin akan menjejaskan peluang BN untuk menang.

Pengundi Cina mewakili sekitar 35 peratus pemilih di Mahkota dengan 54 peratus Melayu dan lapan peratus India.

Sementara itu Nie Ching berkata, BN diyakini mampu mempertahankan kerusi PRK DUN Mahkota.

Beliau berkata, bagaimanapun peluang menang untuk kerusi Mahkota ketika ini masih 50-50.

"Kami akan buat sehabis baik untuk menyantuni setiap lapisan masyarakat dengan mengadakan dialog dan memahami isu mereka dan menjelaskan hala tuju kerajaan pusat dan negeri.

"Jadi siapa yang dapat sokongan lebih tinggi, kami akan tunggu keputusannya pada 28 September ini,” katanya.