KOTA BHARU - Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin menjatuhkan hukuman 24 tahun penjara dan empat sebatan terhadap seorang buruh warga Myanmar selepas tertuduh mengaku bersalah merogol seorang remaja perempuan sehingga melahirkan bayi.
Hakim Zulkifli Abllah menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohd Rashid Sidiq, 30-an yang membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan oleh Jurubahasa, Than Tin.
Tertuduh didakwa merogol remaja bawah umur itu pada November tahun lalu ketika mangsa berusia 16 tahun dua bulan dan pada April lalu.
Lelaki itu melakukan kedua-dua perbuatan berkenaan jam 8 malam di bilik tidur dalam sebuah rumah tanpa nombor di Jalan Gunong, dekat Bachok.
Pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.
Mengikut fakta kes, remaja mengadu sakit perut pada jam 11.30 malam 1 September lalu dan ibunya terus membawa mangsa ke sebuah klinik di Peringat.
Pemeriksaan mendapati mangsa mengandung kira-kira 21 minggu memaklumkan dia dirogol oleh tertuduh.
Mangsa dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab Il (HRPZ II) untuk rawatan lanjut dan laporan polis mendapati remaja itu dirogol sebelum tertuduh ditahan pada 2 September lalu.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Faiz Fitri Mohamad, manakala tertuduh tidak diwakili peguam
Terdahulu, Ahmad Faiz Fitri memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal kerana menyebabkan mangsa mengandung.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan dua sebatan masing-masing untuk pertuduhan pertama serta pertuduhan kedua manakala hukuman penjara pula secara berasingan dari tarikh jatuh hukum (Isnin).