‘Kehidupan ibu, ayah diatur Al-Arqam’

Iklan
Puteri memaklumkan bahawa pernikahan ibu bapanya adalah perkahwinan yang diaturkan oleh Al-Arqam. Puteri (kanan) turut berkongsi gambar bersama ibu dan adiknya di hadapan penempatan Al-Arqam di Batu Hampar.

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Seorang anak kepada bekas ahli kumpulan Al-Arqam mendedahkan bahawa 80 peratus daripada perkongsian di laman sosial berhubung ajaran itu sama seperti yang dilalui kedua ibu bapanya.

Menurut Puteri (bukan nama sebenar), ibu dan bapanya bernikah ketika berada dalam Al-Arqam dan ia merupakan perkahwinan diaturkan oleh jemaah ajaran tersebut.

Iklan
Iklan

"Ibu menyertai Al-Arqam pada usia 12 tahun manakala ayah selepas menamatkan pelajaran di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Kedua-duanya menyertai Al-Arqam kerana mahu belajar dan memahami lebih lanjut tentang agama.

"Bagaimanapun, niat itu dimanipulasi oleh mereka yang berkepentingan duniawi. Ibu bapa saya berkahwin ketika berada dalam jemaah dan ia perkahwinan yang diaturkan,” katanya menerusi satu hantaran di laman sosial, Facebook pada Sabtu.

Iklan

Sebelum ini, seramai 29 individu berusia lingkungan 19 hingga 62 tahun yang dikaitkan dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) ditahan reman antara satu hingga tujuh hari bagi membantu siasatan.

Mereka disiasat mengikut Seksyen 31(a) Akta Kanak-Kanak 2001, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 manakala kesemua individu ditahan di lokap berpusat Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Subang Jaya serta Petaling Jaya.

Iklan

Mengulas lanjut, Puteri berkata, kedua ibu bapanya berdepan kesukaran untuk memulakan kehidupan membesarkan tiga orang anak selepas Al-Arqam diharamkan.

"Bagai orang asing di negara sendiri. Berkelana ibu ayah menumpang rumah keluarga, menyewa untuk mencari tempat memulakan kehidupan.

"Ketika itu juga, ibu ayah masih dalam fasa mengenal hati budi walaupun sudah mempunyai tiga orang anak. Alam berumah tangga mereka berbeza kerana cara hidup yang diaturkan oleh Al-Arqam sebelum ini,” ujarnya.

Susulan memiliki latar belakang sebagai salah seorang pengikut kumpulan Al-Arqam, Puteri memaklumkan bahawa ibu bapanya turut berdepan kesukaran untuk mendapatkan kerja tetap.

"Demi menyara keluarga juga menjaga agama dalam diri, ibu dan ayah terpaksa bertukar-tukar tempat bekerja,” katanya.

Pada masa sama, wanita berkenaan turut berkongsi sehingga ke hari ini ibunya mengalami trauma disebabkan perkataan ‘yaqazah’.

Jelasnya, perkataan itu yang menyebabkan ibu keluar daripada kumpulan itu tanpa seutas barang kemas hasil pemberian neneknya.