Syarikat didakwa jual beras putih tempatan harga mengelirukan

Iklan
Orang Kena Saman (OKS) iaitu Wakil Syarikat KFA & KME Group Sdn Bhd, Mohd Nazir Supin@Hashim, (dua dari kanan) hadir ke Mahkamah Sesyen Besut pada Isnin atas dakwaan menjual beras putih tempatan pada harga mengelirukan.

BESUT – Tindakan sebuah syarikat menjual beras putih tempatan pada harga mengelirukan mengundang padah apabila dihadapkan di Mahkamah Sesyen Besut di sini pada Isnin.

Orang Kena Saman (OKS) iaitu Wakil Syarikat KFA & KME Group Sdn Bhd, Mohd Nazir Supin@Hashim, 37, mengaku bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Fadhli Mahmud.

Iklan
Iklan

Berdasarkan pertuduhan, OKS didakwa melakukan kesalahan memberikan gambaran mengelirukan mengenai harga beras Faiza Emas Super Special Tempatan 10 kilogram.

Beras tersebut dijual pada harga RM31.50 walaupun harga dipamerkan adalah RM26.

Iklan

Kesalahan itu didakwa dilakukan jam 6.35 petang di sebuah pasar mini di Kampung Amer di sini pada 20 September tahun lalu.

Pendakwaan ke atasnya dijalankan mengikut Seksyen 12(1)(a) Akta Perlindungan Pengguna 1999 dan boleh dikenakan hukuman dibawah Seksyen 25(1)(a) akta yang sama.

Iklan

Jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM250,000 bagi kesalahan pertama dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya boleh didenda tidak melebihi RM500,000.

Turut berdepan pertuduhan sama ialah dua lagi pengarah syarikat berkenaan iaitu Khairul Fais Anuar, 40 dan Noor Adawiah Ab Aziz, 41.

Bagaimanapun, kedua-dua OKS tidak hadir semasa sebutan kes kerana sedang mengerjakan umrah.

Sementara itu, pihak pendakwaan yang diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya Wan Mohd I'zzat Wan Abdullah dan Pegawai Pendakwa, Nur Amirah Mokhtar memohon supaya mahkamah menetapkan wang jaminan sebanyak RM20,000 terhadap OKS.

Mahkamah kemudiannya menetapkan wang jaminan sebanyak RM10,000 kepada Syarikat KFA & KME Group Sdn Bhd.

Mahkamah turut menetapkan 22 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk fakta dan hukuman serta sebutan untuk kehadiran dua orang pengarah syarikat tersebut.