SHAH ALAM - Seramai 1,892 pendatang asing tanpa izin (PATI) diusir ke negara asal dari Januari hingga Ogos lalu.
Pengarah Imigresen Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin berkata, statistik keseluruhan direkodkan melibatkan tangkapan menerusi operasi dan serbuan di negeri ini.
Beliau berkata, kesemua PATI terbabit terdiri daripada warga Indonesia, Thailand, Filipina, Singapura dan beberapa negara Asia yang lain.
"Bulan Mac merekodkan jumlah pengusiran PATI tertinggi iaitu melibatkan seramai 328 individu diikuti Ogos (307), Februari (272), April (239).
"Selain itu statistik berkenaan diikuti Julai (217), Januari (183), Mei (178) dan Jun (168)," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Katanya, warga Indonesia merekodkan bilangan tertinggi PATI yang diusir pulang iaitu seramai 722 individu.
"Angka ini diiikuti negara Myanmar melibatkan seramai 380 individu, Bangladesh (163), Thailand (135), Vietnam (83).
"Selain itu antara negara yang merekodkan pengusiran PATI terendah antaranya Singapura melibatkan seramai dua individu, Yemen (6), Filipina (7) manakala Ireland tidak merekodkan sebarang pengusiran melibatkan warga negaranya," katanya.
Tambahnya, pelbagai siri operasi dijalankan melibatkan serbuan di penempatan, premis hiburan, gudang serta pelbagai lokasi lain antara yang membawa kepada kejayaan tangkapan tersebut.
"Antara kesalahan yang dikesan menerusi siri operasi serbuan termasuk tinggal di Malaysia tanpa pas atau permit sah selain melanggar syarat pas.
"Siri operasi yang dilaksanakan secara berterusan termasuk melibatkan lokasi-lokasi dikatakan menjadi tumpuan warga asing di negeri ini," katanya.
Tegas Khairrul Aminus, JIM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak dan petualang negara yang melindungi atau membenarkan PATI memasuki dan berada di dalam premis mereka.
"Tindakan tegas dikenakan sekiranya didapati berlaku pelanggaran undang-undang negara yang boleh mengganggu-gugat keselamatan negara dan ketenteraman awam.
"Semua pihak terutamanya majikan, warga asing dan seluruh warga di Selangor khususnya adalah diingatkan bahawa isu PATI adalah tanggungjawab bersama untuk ditangani," katanya.
Ujarnya, PATI disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.