ALOR SETAR - Kerajaan Kedah telah mengaktifkan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) lebih awal dan bersedia untuk menghadapi fasa peralihan monsun yang dijangka bermula esok dan berterusan hingga awal November ini.
Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan negeri Mejar, (B) Mansor Zakaria berkata, pusat itu beroperasi dengan kerjasama pelbagai agensi dan jabatan berkaitan bagi memastikan orang ramai mendapat bantuan jika berlaku bencana seperti banjir dan ribut.
"Kita bekerjasama dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM)," katanya ketika ditanya mengenai persiapan kerajaan negeri dalam berdepan peralihan monsun itu.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) menaik taraf dan mengurus Terminal Bas Shahab Perdana di sini, hari ini.
Baru-baru ini Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) memaklumkan Malaysia bakal menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah dan berpotensi menyebabkan ribut petir yang lazimnya membawa hujan lebat serta angin kencang dalam jangka masa singkat semasa tempoh peralihan monsun tersebut.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai tindakan pihak berkuasa tempatan (PBT) berhubung kejadian pokok tumbang akibat angin kuat atau ribut, Mansor berkata, beliau telah mengarahkan kesemua PBT melakukan pemantauan terhadap pokok berisiko tumbang.
"Pokok-pokok ini kita tidak boleh tebang macam itu sahaja kerana ia ditanam untuk menahan angin selain landskap. Kalau pokok itu condong sehingga boleh membahayakan keselamatan, mendatangkan kecederaan dan memusnahkan harta benda, kita akan tebang.
"Tetapi, jika pokok itu dalam keadaan baik, kita akan ambil tindakan awal dengan mencantas dahan-dahan yang besar sahaja, kita tidak tebang sebab pokok ini kerana ia ambil masa yang lama untuk tumbuh besar ada yang berusia hingga 40 ke 50 tahun," katanya.
Sementara itu, ditanya mengenai sama ada terdapat tindakan penutupan premis perniagaan milik Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH), beliau berkata PBT akan menutup premis berkenaan jika didapati melanggar syarat lesen perniagaan mereka.
"Sehingga kini, kita tidak mengesan sebarang aktiviti yang melanggar syarat sah lesen perniagaan. Selagi tidak dibuktikan bersalah, kita tidak akan jatuh hukum pada mereka kecuali premis itu contohnya membuka restoran tetapi dia jalankan aktiviti lain, itu kita akan ambil tindakan," katanya. - Bernama