Pemilik syarikat emas didakwa catat GST palsu RM2.2 juta

Iklan

SHAH ALAM – Seorang pemilik syarikat berkaitan pembelian emas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin, atas lapan pertuduhan berkaitan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bernilai lebih RM2.2 juta antara 2017 dan 2018 lalu.

Mohd Hasriq Zahari, 38, selaku orang kena saman (OKS) membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Rasyihah Ghazali.

Iklan
Iklan

Mengikut empat pertuduhan, lelaki itu didakwa sebagai orang berdaftar di bawah Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan (ACBP) 2014, didapati memberikan maklumat tidak betul berhubung cukai input dan output.

Ia yang diikrar dalam penyata GST-03 bagi tempoh bercukai 1 April 2017 hingga 30 Jun 2018 yang mana ia menyebabkan pengurangan cukai lebih RM2.22 juta.

Iklan

Dia didakwa mengikut Seksyen 88(c) ACBP yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Seksyen itu turut memperuntukkan hukuman penalti yang bersamaan nilai cukai yang terkurang dikenakan itu.

Iklan

Bagi empat lagi pertuduhan, dia didakwa sebagai orang berdaftar di bawah akta ACBP didapati telah membuat catatan palsu dalam penyata GST-03 bagi tempoh bercukai 1 April 2017 hingga 30 Jun 2018.

Ia berhubung cukai input sebanyak RM2.21 juta dengan niat mengelak cukai dan memperolehi kredit bagi cukai input terhadap cukai output.

Dia didakwa mengikut Seksyen 89(1)(b) ACBP dan boleh dihukum bawah seksyen sama, yang membawa hukuman denda antara 10 hingga 20 kali ganda amaun cukai itu, atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Semua kesalahan didakwa dilakukan di Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Pelabuhan Klang di sini pada 12 Julai 2017 hingga 17 Julai 2018.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa JKDM, Mazliza Abdul Wahid manakala OKS diwakili peguam, Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 23 Oktober depan.

GST yang dilaksanakan pada 1 April 2015, telah dimansuhkan sepenuhnya pada 31 Ogos 2018 dan digantikan dengan Akta Jualan dan Akta Perkhidmatan (SST) keesokkan harinya, 1 September.