Pukulan smesy senjata utama Sze Fei-NurIzzuddin atas gelanggang - Boon Heong

Iklan
Beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani, memenangi gelaran juara Terbuka China 2024 pada Ahad. Foto AFP

KEKUATAN tangan ketika membuat pukulan smesy menjadi senjata utama beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani, memenangi gelaran juara Terbuka China 2024 semalam, kata bekas pemain beregu lelaki nombor satu dunia, Tan Boon Heong.

Boon Heong berkata, setiap pasangan perlu mempunyai keistimewaan tersendiri di dalam gelanggang, sekali gus boleh dijadikan senjata rahsia untuk meraih kemenangan demi kemenangan.

Iklan
Iklan

"Mereka juga boleh menyusun taktikal berdasarkan kelebihan yang mereka ada. Ini akan membuatkan pihak lawan lebih berhati-hati dan tidak memandang mudah perlawanan itu.

"Saya melihat permainan Sze Fei-Nur Izzuddin sangat baik, lebih-lebih lagi dengan kekuatan pukulan smesy Nur Izzuddin. Ini memberi kelebihan besar kepada mereka di atas gelanggang,” katanya ketika dihubungi di sini pada Isnin.

Iklan

Ketika ditanya mengenai satu lagi beregu lelaki negara Man Wei Chong-Tee Kai Wun, Boon Heong berkata, mereka memerlukan sesuatu yang berbeza di atas gelanggang, untuk mencipta kekuatan tersendiri.

"Mereka perlu mengambil sedikit masa, kerana saya melihat tiada keistimewaan yang mampu membuatkan lawan gentar setiap kali bertemu mereka,” katanya.

Iklan

Boon Heong memberi contoh gandingan hebatnya bersama Koo Kien Keat suatu ketika dahulu, yang mempunyai kekuatan dari sudut pukulan menyerang selain pemain China Fu Haifeng turut dikenali dengan pukulan kencang.

Semalam, Sze Fei-Nur Izzuddin berjaya memenangi kejohanan bertaraf Super 1000 pertama dalam karier mereka, selepas menewaskan pasangan tuan rumah He Ji Ting-Ren Xiang Yu 13-21, 21-12, 21-17.

Selaku juara Terbuka China Sze Fei-Nur Izzuddin membawa pulang hadiah kemenangan berjumlah US$148,000 (RM622,361) manakala Ji Ting-Xiang Yu meraih AS$70,000 (RM294,360).

Kecemerlangan itu membolehkan Sze Fei-Nur Izzuddin muncul beregu lelaki negara kedua mengungguli Terbuka China, selepas kali terakhir dilakukan gandingan legenda adik-beradik Datuk Seri Jalani Sidek-Datuk Razif Sidek pada 1989. - Bernama