Kesemua tahanan GISBH ada dokumen, rakyat Malaysia - KDN

Iklan
Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengesahkan kesemua tahanan Ops Global yang dikaitkan dengan GISB Holding (GISBH) mempunyai dokumen pengenalan diri. Gambar hiasan.

PUTRAJAYA - Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengesahkan kesemua tahanan Ops Global yang dikaitkan dengan GISB Holding (GISBH) mempunyai dokumen pengenalan diri.

Menerusi kenyataan, KDN memaklumkan hasil semakan Jabatan Pendafatran Negara (JPN) mendapati kesemua mereka adalah warganegara Malaysia.

Iklan
Iklan

"JPN telah bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam membuat proses semakan identiti berdasarkan dokumen pengenalan diri atau cap jari berpandukan kepada rekod data terkini.

"Sehingga 21 September, semakan mendapati kesemua yang ditahan dan diselamatkan di bawah Op Global ini mempunyai dokumen pengenalan diri dan merupakan warganegara Malaysia," katanya pada Isnin.

Iklan

Jelas kementerian itu, pihaknya komited untuk memudah cara dan membantu kanak-kanak yang diselamatkan dalam operasi berkenaan mendapatkan dokumen pengenalan diri serta status kewarganegaraan selayaknya.

Ia selaras dengan perundangan yang berkuatkuasa sekiranya mereka didapati tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri dan taraf kewarganegaraan.

Iklan

"Semakan mengenai dokumen pengenalan diri dan status kewarganegaraan individu-

individu yang ditahan dan diselamatkan dalam Ops Global ini akan dilaksanakan secara berterusan JPN sepanjang operasi," kata KDN.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar memaklumkan isu berhubung nasab sebahagian kanak-kanak penghuni rumah amal GISBH yang diselamatkan akan dibawa kepada mahkamah syariah negeri.

Penentuan sah taraf sebahagian anak GISBH adalah penting demi masa depan mereka.

Apabila mahkamah mengisytiharkan bahawa anak itu adalah anak yang sah taraf barulah boleh didaftarkan JPN.

Sejak 12 September lalu, seramai 402 kanak-kanak dan remaja berusia setahun hingga 17 tahun berjaya diselamatkan menerusi serbuan di 20 rumah amal sekitar Selangor dan Negeri Sembilan disyaki menjadi mangsa eksploitasi.

Ringkasan berita:

  • KDN sahkan semua tahanan Ops Global GISBH adalah warganegara Malaysia dengan dokumen sah.
  • KDN dan JPN bekerjasama bantu kanak-kanak mendapatkan dokumen dan status kewarganegaraan.
  • Isu nasab kanak-kanak GISBH akan dibawa ke mahkamah syariah.
  • 402 kanak-kanak dan remaja diselamatkan dari 20 rumah amal, disyaki dieksploitasi.
Dijana oleh AI