Pensyarah kemuka representasi gugur kes tuntutan palsu

Iklan

SHAH ALAM – Pihak pembelaan bagi seorang pensyarah memberitahu Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin, bahawa representasi untuk menggugurkan 18 pertuduhan bersubahat akan dikemukan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).

Peguam, Shamsul Sulaiman yang mewakili Profesor Dr Hapizah Md Nawawi, 64, berkata, ia membabitkan permohonan untuk mengugurkan kes bersubahat mengemukakan tuntutan bayaran gaji palsu bagi kerja-kerja penyelidikan sekitar 2021 dan 2022, berjumlah RM38,000.

Iklan
Iklan

"Kami akan mengemukakan representasi dan memohon penangguhan pengurusan kes selama dua bulan, bagi keputusan representasi,” katanya ketika pengurusan kes itu di hadapan Hakim, Awang Kerisnada Awang Mahmud.

Mahkamah kemudian menetapkan 20 November ini bagi sebutan semula kes dan status representasi terbabit.

Iklan

Pendakwaan dalam kes ini, dikendalikan pegawai pendakwa, Mohd Aliff Shaharuzaman.

Pada 31 Julai lalu, wanita terbabit mengaku tidak bersalah atas dakwaan bersubahat bersama seorang wanita warga tempatan berusia 28 tahun, memperdaya empat individu lain berhubung tuntutan bayaran gaji pembantu penyelidik dengan jumlah wang berkenaan.

Iklan

Ia bagi kerja-kerja penyelidikan bertajuk ‘Mechanism of Drone-Assisted Technology on Efficiency of Mass Disaster Victim Identification (DVI)’ yang mengandungi butir matan palsu di mana kerja penyelidikan itu tidak dilakukan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut di Institut Patologi, Perubatan Makmal dan Forensik (IPPerForM) di Kampus UiTM Sungai Buloh, daerah Petaling di sini antara 13 April 2021 hingga 11 Oktober 2022.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 18 dan Seksyen 28(1)(c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(2) akta yang sama.

Sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.