Gurauan baling botol bersama rakan bawa Ahmad Fikri kecapi kejayaaan Para Sukma

Iklan
Ahmad Fikri memenangi pingat emas dalam acara Rejam Lembing Lelaki F11 di Para Sukma Sarawak dengan rejaman sejauh 29.92 meter. Foto Bernama

BERMULA dengan gurauan membaling botol bersama rakan sekelas semasa alam persekolahan, siapa sangka atlet Negeri Sembilan, Ahmad Fikri Omar kini mampu melakar kejayaan membanggakan di Para Sukan Malaysia (Para Sukma) 2024, di sini.

Ahmad Fikri, yang mempertahankan emas rejam lembing lelaki F11 (kecacatan penglihatan) menerusi catatan 29.94 meter (m) berkata bakatnya kemudian dikesan oleh seorang guru pada usia 13 tahun ketika belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Pendidikan Khas Setapak di Kuala Lumpur.

Iklan
Iklan

"Dia juga pernah beritahu tidak ramai orang buta macam saya ada bakat dalam rejam lembing kerana ia memerlukan teknik lentikan badan yang betul sebelum melepaskan rejaman,” katanya kepada Bernama di Stadium Sarawak, hari ini.

Sementara itu, Muhammad Amirul Ahmad dari Johor membawa pulang perak (24.36m) dan wakil tuan rumah Leeyendy Jisen Abdullah memenangi gangsa (19.66m) dalam acara itu.

Iklan

Ditanya bagaimana mengatasi cabaran ketika beraksi di padang, Ahmad Fikri berkata, dia tiada pilihan selain menggunakan tiga langkah larian sebelum melepaskan rejaman.

"Saya tidak gunakan naluri sebaliknya perlu kira langkah dan tahu berapa langkah ke depan sebelum rejam lembing, itulah teknik yang digunakan untuk atlet golongan seperti kami,” katanya.

Iklan

Mengenai prestasinya hari ini, atlet berusia 27 tahun itu mengakui kurang berpuas hati apabila tidak berjaya meleburkan rekod temasya selama 16 tahun dipegang Hairul Miran dari Kuala Lumpur dengan 30.63m.

Dalam pada itu, dia yang bekerja sebagai tukang urut di ibu negara menyifatkan pencapaian diraihnya di Bumi Kenyalang sebagai hadiah hari perkahwinan untuk isterinya, Nor Syafina Ros Azizi, 25, selepas mereka berdua selamat diijabkabulkan pada Februari lepas.

Anak kesepuluh dari 12 beradik itu pada masa berharap agar dapat mewakili negara buat kali pertama pada Sukan Para ASEAN 2025 di Thailand.

"Kalau boleh nak wakil negara kerana saya memang sudah ternanti-nantikan peluang tersebut, tidak kisah mana-mana kejohanan atau temasya sukan sekali pun,” katanya. - Bernama