Asnaf Kedah terima jentera penuai padi

Iklan
Ahmad Shahriman (kanan) bersama Syeikh Zakaria (kiri) dalam majlis penyerahan jentera penuai padi di Yan, Kedah.

SHAH ALAM - CIMB Islamic Bank Berhad (CIMB Islamic) menyalurkan sumbangan berupa jentera penuai padi bernilai RM298,000 kepada golongan asnaf di Kedah menerusi Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) di bawah program Smart Sawah Berskala Besar Asnaf (SBBA).

CIMB Islamic dalam kenyataan pada Isnin berkata, sumbangan itu menggunakan Dana Wakalah Zakat bagi meningkatkan kemahiran petani asnaf tempatan, menangani isu keselamatan makanan nasional dan mengurangkan kos pengeluaran.

Iklan
Iklan

Menurutnya, peruntukan mesin jentera itu dijangka menyediakan penjimatan ketara sehingga RM5,600 setahun untuk petani bagi setiap hektar.

"Sebagai sebahagian daripada kerjasama tersebut, petani asnaf kini dapat menggunakan mesin jentera penuai padi dengan hanya RM40 serelung, berbanding penyewaan jentera tempatan yang biasanya mempunyai kos sebanyak RM120 serelung.

Iklan

"Selain itu, petani asnaf yang mengambil bahagian juga memperoleh penjimatan sehingga RM24 untuk mengangkut satu tan hasil padi dan RM10 bagi penggunaan dron pertanian,” menurut kenyataan tersebut.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic, Ahmad Shahriman Mohd Shariff berkata, sebagai penyokong teras prinsip pengantaraan berasaskan nilai, pihaknya berharap sumbangan tersebut akan meningkatkan kecekapan pengeluaran padi dan memberi penjimatan kos ketara.

Iklan

Menurutnya, pihaknya juga berharap pemberian jentera penuai padi itu dapat memperkasakan petani asnaf, sekali gus menyediakan sumber pendapatan mampan untuk mereka.

"CIMB Islamic kekal dalam usaha mempelopori mekanisme inovatif pembahagian zakat demi menangani cabaran global yang kini dihadapi oleh negara khususnya keselamatan makanan.

"Kami yakin penggunaan instrumen kewangan sosial Islam yang berkesan seperti zakat dan ditambah dengan penggunaan teknologi dapat meningkatkan taraf hidup golongan rentan.

"Ia secara tidak langsung merapatkan jurang serta mengurangkan perbezaan dari segi sosial dan ekonomi,” tambah beliau.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Datuk Syeikh Zakaria Othman turut menzahirkan penghargaan kepada CIMB Islamic atas sumbangan yang diberikan kepada golongan asnaf Kedah.

Menurutnya, mesin jentera penuai padi akan memberi impak berpanjangan kepada kehidupan komuniti asnaf di negeri berkenaan.

"Ia (jentera penuai padi) akan meringankan beban mereka dengan membantu mencari penyelesaian yang praktikal dalam menghadapi cabaran pertanian.

"LZNK juga akan memainkan peranan dalam menyediakan latihan komprehensif kepada petani asnaf yang mengambil bahagian dalam pengendalian serta pengurusan mesin tersebut,” ujarnya.