Contohi Thailand bina pusat latihan untuk anak austime

Iklan
Megat Ahmad Shahrani menyampaikan hujah pada Wacana Sinar ke-154: Kanak-kanak Masalah Spektrum Autistik (ASD): Cabaran Dan Masa Depan yang berlangsung di Dewan WUI, Bangunan Sinar Harian di sini hari ini. -Foto: Rosli Talib

SHAH ALAM - Malaysia perlu mencontohi Thailand yang prihatin terhadap anak-anak autisme dengan menyediakan pusat latihan khusus untuk menggilap bakat serta kemahiran bagi membolehkan mereka berdikari.

Presiden Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (Nasom), Datuk Megat Ahmad Shahrani Megat Shahrudin berkata, pusat latihan terbabit yang terletak di daerah Lopburi menempatkan seramai 400 anak-anak autisme daripada pelbagai kategori.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, di pusat latihan tersebut, anak-anak autisme diberikan latihan secara vokasional dan akademik antaranya seperti menjahit, bermain muzik, membuka kafe, membela haiwan ternakan seperti lembu, kerbau, ikan termasuk bersawah padi.

"Saya sendiri bersama keluarga termasuk anak autisme kami pernah memandu dari Ipoh ke Bangkok selama tiga hari, kemudian dari sana memandu sejauh 200 kilometer lagi untuk ke Lopburi semata-mata mahu melihat sendiri bagaimana pusat latihan itu beroperasi.

Iklan

"Tempatnya sangat luas dan sistem latihan yang digunakan sangat baik, malah setelah anak-anak autisme pandai, mereka akan dikeluarkan dari pusat latihan dan sudah boleh 'jalan sendiri' (berdikari)," katanya pada Wacana Sinar ke-154: Kanak-kanak Masalah Spektrum Autistik (ASD): Cabaran Dan Masa Depan yang berlangsung di Dewan WUI, Bangunan Sinar Harian di sini hari ini.

Wacana itu turut menampilkan tiga lagi panelis iaitu Pakar Psikiatri Kanak-Kanak, Profesor Dr Subash Kumar Pillai, Pengasas Autism Cafe, Adli Yahya dan Selebriti, Zarina Zainuddin selain Ketua Pegawai Eksekutif Arba Foundation, Azlan Shah Nabees Khan sebagai moderator.

Iklan

Megat Ahmad Shahrani berkata, justeru beliau melihat inisiatif seperti itu boleh diaplikasikan di Malaysia.

"Kerajaan Malaysia boleh tiru atau ambil secara teori sistem dilaksanakan mereka dan buat di negara kita.

"Lagipun kita tahu bukan semua anak autisme boleh belajar dan bukan semua pandai, mereka berbeza-beza...Cara ini elok untuk kita guna bagi melatih mereka berdikari," katanya.

Dalam pada itu Megat Ahmad Shahrani berkata, beliau juga melihat tahap kesedaran atau pemahaman masyarakat Malaysia terhadap anak autisme kini semakin baik jika dibandingkan dengan 20 tahun lalu.

Menurutnya, sebelum ini penerimaan masyarakat amat kurang dan mereka langsung tidak tahu mengenai austisme dan apabila diterangkan mereka menganggapnya sebagai 'penyakit' dan anak-anak ini tidak boleh dibawa keluar rumah.

"Tetapi sekarang kesedaran masyarakat kita itu sudah nampak perubahan dan saya percaya lama-kelamaan mereka secara perlahan-lahan boleh menerima anak Autisme. Tambah lagi, pendedahan tentang Autisme begitu aktif diuar-uarkan melalui akhbar dan media elektronik termasuk peranan kerajaan," katanya.