ATLET memanah Kuala Lumpur, Nursufiah Mohd Nizam mencuri tumpuan penonton meskipun menamatkan pusingan kelayakan acara compound wanita di tempat ke-11, pada Para Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak 2024 di Lapang Sasar Memanah Petra Jaya di sini.
Pemanah berusia 27 tahun itu menampilkan semangat luar biasa, apabila melepas anak panah menggunakan gigi, selepas hilang keupayaan tangan kanannya sejak tujuh tahun lepas akibat tumor otak.
Nursufiah meletakkan anak panah dalam busur menggunakan tangan kirinya, menarik tali busur menggunakan gigi, kemudian membidik sasarannya dan melepaskan anak panah menggunakan mulutnya.
Berkongsi kisahnya, Nursufiah berkata, beliau tertarik dengan sukan memanah selepas menonton cerita The Hunger Games, serta inspirasi daripada bekas juara dunia memanah para Eric Bennett dari Amerika Syarikat, yang turut beraksi menggunakan mulut.
"Memang sukar untuk melepaskan anak panah menggunakan mulut, nak sasar pun susah kerana sasaran lari apabila melepaskan anak panah daripada gigi. Ini merupakan kali pertama saya beraksi di Para Sukma.
"Saya baharu setahun menceburi sukan ini, terus berminat walaupun hanya tengok sekejap. Saya berharap untuk meningkatkan prestasi selepas ini,” katanya yang sedang mengikuti kelas jahitan di Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan (PLPP), Bangi.
Pada aksi hari ini, Nursufiah menamatkan cabaran di kedudukan ke-11 selepas mengumpul 191 mata.
Nurul Farha Abdul Hamid dari Perak meraih emas pada pusingan hari ini, selepas mengumpul 616 mata mengatasi Lidwina Isidore Andilah dari Sabah dengan perbezaan tipis satu mata (615), manakala Amira Firdiana Abd Wahab (548) dari Pulau Pinang membawa pulang gangsa.
Bagi kategori lelaki, Muhammad Aizat Zaini dari Kuala Lumpur merangkul emas dengan panahan 660 mata, manakala dua wakil Perak, K. Kumar (657) dan Megat Nur Izzat Faiz Megat Noor Azre (640) masing-masing meraih perak dan gangsa.
"Saya mula sertai sukan memanah pada 2019, selepas mengalami kemalangan jalan raya pada 2017. Motosikal saya dilangar lori, ketika saya sedang bangun dilanggar kereta pula, menyebabkan kaki kena potong atas lutut, rusuh patah, tulang belakang retak dan ada 18 tempat patah di tangan,” kata Muhammad Aizat. - Bernama