'Saya jemput calon PN tengok benteng sudah dinaik taraf' - Exco Johor

Iklan
Mohd Fazli menunjukkan gambar benteng yang sudah dinaik taraf di DUN Mahkota.

KLUANG - Calon Perikatan Nasional (PN) dijemput untuk datang ke lokasi benteng Sungai Melantai dan Sungai Mengkibol yang sudah dinaik taraf bagi mengatasi isu banjir di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, Sungai Melantai dan Sungai Mengkibol di Kluang didapati merupakan punca banjir di kawasan Kluang dan tindakan sewajarnya sudah diambil.

Iklan
Iklan

Beliau menjelaskan, setakat ini, kerajaan negeri sudah mengeluarkan hampir RM3 juta untuk memastikan tebing di Sungai Melantai dan Sungai Mengkibol tidak runtuh dan air tidak melimpah.

"Untuk tahun ini sahaja kita sudah keluarkan lebih kurang RM1 juta untuk menaik taraf benteng yang jatuh di kawasan Sungai Melantai dan Sungai Mengkibol.

Iklan

"Tiga projek berkenaan membabitkan Kampung Palembang Baru bernilai RM175,000 yang siap 21 Ogos.

"Seterusnya, projek di Sungai Melantai berharga RM409,000 yang siap 9 September ini dan Projek Pengukuhan Tebing Sungai Melantai bernilai RM326,000 yang siap 19 Ogos,” katanya.

Iklan
Mohd Fazli (tiga dari kiri) pada Majlis Pengoperasian Laluan Baharu Bas Muafakat Johor (KL004) Paloh - Kluang di Terminal Bas Kluang, pada Isnin.

Beliau berkata demikian sempena Pengoperasian Laluan Baharu Bas Muafakat Johor (KL004) Paloh - Kluang di Terminal Bas Kluang di sini, pada Isnin.

Mohd Fazli berkata, bagi Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB), kerajaan negeri sudah memohon peruntukkan bernilai hampir RM1 bilion bagi mengatasi masalah banjir di kedua sungai berkenaan.

"Kerajaan negeri juga telah memohon satu projek besar iaitu RTB bernilai keseluruhan RM800 juta ke RM1 bilion melibatkan kedua dua sungai ini,” katanya.

Sebelum itu, Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada Bersatu) Johor, Mohamad Syafiq Mohd Khairul Sam meminta kerajaan menjelaskan peruntukan projek tebatan banjir di Sungai Melantai.

Mohamad Syafiq mendakwa, peruntukan itu sudah disalurkan tetapi tidak kelihatan kerja-kerja atau projek tersebut dilakukan.