Bersatu jalin kerjasama dengan parti Pakistan

Iklan
Imran Khan bersama Dr Mahathir ketika menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) di antara Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang diwakili Setiausaha Agung Bersatu Datuk Marzuki Yahya (kanan) dan Pakistan Tehreek-e-Insaf yang diwakili Naib Presiden Pakistan Tehreek-e-Insaf Shah Mahmood Qureshi pada jamuan makan tengah hari bersempena lawatan kerja Perdana Menteri Pakistan di Perdana Putra hari ini. - Foto: Bernama

PUTRAJAYA - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hari ini memeterai perjanjian persefahaman (MoU) bersama parti Pakistan Tehreek-e-Insaf (PTI) bagi menjalin kerjasama dalam pelbagai bidang.

Setiausaha Agung Bersatu Datuk Marzuki Yahya berkata, kerjasama itu akan membolehkan kedua-dua parti yang masih baharu dalam mentadbir kerajaan berkongsi idea dan saling bertukar pandangan.

Iklan
Iklan

"Kita juga akan menggunakan platform ini supaya Bersatu bukan hanya berkisar kepada politik dalam negara sahaja, tetapi kita juga mahu mengadakan hubungan yang baik dengan semua parti politik di seluruh dunia," katanya kepada media di sini hari ini.

MoU itu ditandatangani Marzuki dan Naib Pengerusi PTI Shah Mehmood Qureshi disaksikan oleh Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad dan Perdana Menteri Pakistan Imran Khan selepas majlis makan tengah hari di Seri Perdana hari ini yang diadakan bagi meraikan Imran Khan yang mengadakan lawatan kerja dua hari ke Malaysia.

Iklan

Marzuki berkata, kerjasama lebih proaktif akan digerakkan selepas selesai pemilihan Bersatu, di mana buat masa ini kedua-dua pihak sedang menyusun program-program yang akan dijalankan bersama.

"Selepas pemilihan Bersatu, kita akan menstruktur pasukan yang baharu dalam mengadakan program-program dua hala di antara Malaysia dan Pakistan," katanya.

Iklan

Antara bidang kerjasama yang digariskan dalam MoU adalah kedua-dua pihak akan berusaha mengekalkan hubungan peringkat tinggi serta lawatan, di samping meningkatkan lagi hubungan dua hala dan perbincangan mengenai isu-isu yang mempunyai kepentingan bersama.

Kedua-dua pihak juga akan menggalakkan dan memupuk kerjasama serta pertukaran sosial antara pertubuhan-pertubuhan masyarakat sivil, di samping pertubuhan pertubuhan-pertubuhan belia dan wanita bagi tujuan membangunkan hubungan dua hala yang kukuh. - Bernama