USAHA aktres Rita Rudaini mendidik anak-anak mencapai kejayaan telah mendapat perhatian Kelab Wanita Ikon Malaysia untuk menganugerah Ibu Ikon 2024/2025.
Anugerah berkenaan disampaikan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat iaitu Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.
Rita atau nama penuhnya Rita Rudaini Mokhtar, 48, berharap anugerah yang diterima memberikan inspirasi dan motivasi buat para ibu di luar sana agar jangan sesekali mengalah dalam memberikan yang terbaik buat anak-anak.
"Terima kasih Ikon Malaysia untuk Anugerah Ibu Ikon 2024/2025 sempena Anugerah Wanita Ikon Malaysia 2024/2025.
"Saya akan terus memberi inspirasi kepada wanita-wanita di luar sana,” katanya berkongsi momen istimewa itu di Instagram miliknya.
Anugerah diperkenalkan bagi memartabatkan wanita dalam pencapaian mereka merangkumi kerjaya, keluarga dan masyarakat
Tambah Rita, walaupun setiap wanita itu berlainan latar belakang tetapi ujian dan rasa yang dilalui itu tetap sama.
"Tidak mudah... walaupun ada di antara kita berlainan latar belakang, tetapi ujian dan rasa itu tetap sama.
"Percayalah, di setiap semua itu, bukanlah 'kesusahan', tetapi itulah ujian untuk yang terpilih... dan percayalah, di sebalik ujian itu ada 'hadiah' manis yang ALLAH berikan iaitu anak.
"Jagalah, sayangilah dan didiklah mereka kerana Allah,” ujarnya.
Rita pernah mendirikan rumah tangga dengan pemain bola sepak Aidil Zafuan pada 2008 dan dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Airit Rayyan Rizqin, 15 danAirit Qaqa Arjuna 13 tahun.
Bagaimanapun, ikatan perkahwinan mereka berakhir dengan penceraian pada September 2013.
Anak sulung Rita, Airit Rayyan berjaya memperoleh keputusan cemerlang dengan gred purata nilai 3.99 pada peperiksaan semester di MRSM Sungai Besar.
Rayyan juga pernah menerima Anugerah Pengetua yang diberikan kepada pelajar yang memperoleh Purata Nilaian Gred (PNG) 3.50 dan ke atas selain cemerlang dalam bidang sukan serta kokurikulum.