[VIDEO] 153 akaun bank milik GISBH berjumlah lebih RM800,000 dibekukan

Iklan

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) sehingga kini bertindak membekukan sebanyak 153 akaun milik kumpulan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pembekuan akaun GISBH itu dengan pecahan terdiri daripada 138 akaun dengan jumlah RM882,795, manakala baki 15 akaun lagi telah ditutup.

Iklan
Iklan
Tan Sri Razarudin Husain

Beliau berkata, tindakan pembekuan dilakukan di bawah Seksyen 44(1) AMLATFPUAA 2001 (Akta 613) dan penyitaan di bawah Seksyen 45(2) AMLATFPUAA 2001 (Akta 613) telah dilakukan oleh pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA), Urus Setia Pejabat Ketua Polis Negara (KPN), Bukit Aman.

Selain itu kata beliau, sebanyak 22 buah kenderaan pelbagai jenis bernilai anggaran RM1.87 juta dan sebanyak 14 lot hartanah telah dikenakan tindakan pembekuan.

Iklan

"Tindakan terkini penyitaan juga turut dijalankan di bawah Seksyen 45(2) AMLATFPUAA 2001 (Akta 613) melibatkan beberapa harta milik GISBH.

"Antara yang disita adalah 16 buah kenderaan pelbagai jenis dengan nilai berjumlah RM2.07 juta.

Iklan

"Selain itu, turut disita 26 ekor haiwan terdiri daripada sembilan ekor kuda, arnab (14 ekor) dan burung merak (3 ekor).

"Polis turut merampas wang tunai bernilai RM18,650 dan dua utas jam jenama Amazfit anggaran RM600 semasa Op Global fasa keempat dijalankan," katanya ketika sidang akhbar di Pusat Latihan Polis (Pulapol) pada Isnin.

Ditanya adakah terdapat duit GISBH disimpan dalam akaun persendirian atau pemimpin kumpulan itu, Razarudin berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan.

Jelas beliau, perkara itu akan dapat dipastikan apabila penjejakan aliran wang dilakukan oleh pihak penyiasat PDRM.

"Kita di PDRM juga hendak tahu ada atau tidak duit kumpulan disimpan dalam akaun persendirian atau mana-mana ahli yang lain," ujarnya.

Dalam pada itu, Razarudin berkata, menerusi serbuan pada fasa keempat OP Global, PDRM bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) turut membuat beberapa rampasan lain.

Jelas beliau, rampasan itu membabitkan sejumlah 455 unit naskah, risalah dan logo GISBH.

Selain itu katanya, polis turut merampas sebanyak 90 unit telefon bimbit dan komputer (16 buah).

"Rampasan-rampasan yang dijalankan tersebut telah dirujuk kepada pihak Jakim dan didapati terdapat barangan yang disyaki bertentangan dengan ajaran Islam.

"Malah ia dipercayai berkait dengan ajaran Aurad Muhammadiyah yang telah diharamkan pada 1986 serta Al-Arqam yang telah difatwakan sesat pada tahun 1994," ujar beliau.