BEIRUT - Sekurang-kurangnya seorang terbunuh dan 17 lagi cedera dalam serangan udara Israel yang menyasarkan beberapa kawasan di Lubnan awal pagi Isnin, lapor Agensi Anadolu, memetik media Lubnan.
Jet pejuang Israel melancarkan lebih 80 serangan udara dalam tempoh 30 minit pada awal pagi, menyerang kawasan dan lembah antara bandar Ansar dan Zrariyeh di Nabatieh, selatan Lubnan, menurut agensi berita nasional Lubnan, NNA.
Serangan turut menyasarkan beberapa kawasan lain termasuk Wa'ba, Jibchit, Sharqia, Al-Namiriyeh, pinggir Kfar Tebnit, Nabatiyeh El Faouqa dan Deir El Zahrani.
Selain itu, kawasan sekitar lebuh raya Kfar Roummane-Midneh, pinggir Yohmor Al-Shaqif, Arnoun, Jabal Al-Tuffah, Jabal Al-Rihan, pinggir Sejoud, dan bekas lintasan sempadan Kfar Tebnit turut terkena serangan.
Seorang pengembala Lubnan terbunuh dan enam orang cedera, termasuk dua ahli keluarga dalam serangan Israel di Bodai, timur Lubnan, menurut media tempatan.
Kementerian Kesihatan Lubnan memaklumkan 11 orang cedera dalam satu lagi serangan di Aitaroun, selatan Lubnan pada Isnin.
Beberapa serangan udara juga menyasarkan pinggir Zboud di utara Beqaa, kawasan pergunungan Hermel, dan Jabal Safi di barat Beqaa.
Serangan udara turut dilaporkan di kawasan timur Tyre dan Sungai Litani di pinggir selatan Dlafy, selatan Lubnan.
Menurut Radio Tentera Israel, pesawat pejuang melancarkan lebih 150 serangan ke atas Lubnan menggunakan berpuluh-puluh jet pejuang pada Isnin.
"Serangan yang dirancang dijangka lebih besar daripada serangan pada Ahad dan akan berterusan untuk tempoh yang lebih lama," lapor akhbar harian Israel, Haaretz memetik kenyataan tentera.
Secara berasingan, tentera Israel memberi amaran kepada orang awam di kampung di selatan Lubnan agar meninggalkan bangunan yang menyimpan senjata Hizbullah.
Ketegangan meningkat antara Hizbullah dan Israel susulan serangan udara pada Jumaat yang mengorbankan sekurang-kurangnya 45 orang, termasuk kanak-kanak dan wanita, serta mencederakan puluhan orang di pinggir selatan Beirut.
Hizbullah mengesahkan bahawa sekurang-kurangnya 16 anggotanya, termasuk pemimpin kanan Ibrahim Aqil dan komander tertinggi Ahmed Wahbi, terbunuh dalam serangan Israel itu.
Serangan itu berlaku dua hari selepas sekurang-kurangnya 37 orang terbunuh dan lebih 3,000 yang lain cedera dalam dua gelombang letupan peranti komunikasi tanpa wayar di seluruh Lubnan.
Walaupun kerajaan Lubnan dan Hizbullah menyalahkan Israel atas letupan itu, Tel Aviv tidak menafikan atau mengesahkan penglibatannya.
Hizbullah dan Israel telah terlibat dalam serangan rentas sempadan sejak bermulanya konflik Israel di Gaza, yang telah mengorbankan lebih 41,400 orang. - Bernama/Anadolu