MOTAC intai kerjasama lebih erat dengan OIC promosi pelancongan mesra Muslim

Iklan
Khairul Firdaus ketika bercakap dalam temu bual eksklusif berhubung Persidangan Islam Dunia Ke-4 bersama Bernama Radio di Wisma Bernama, pada Isnin. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) berhasrat memperkukuh hubungan bersama negara-negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dalam mempromosikan ekosistem industri pelancongan mesra Muslim di Malaysia.

Timbalan Menteri berkenaan, Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, kerjasama erat bersama OIC akan membawa pulangan baik memandangkan gabungan itu mempunyai potensi besar dalam menarik lebih ramai pelancong Muslim ke negara ini.

Iklan
Iklan

"Hal ini penting kerana dianggarkan pasaran pelancongan mesra Muslim antarabangsa ini boleh mencecah AS$228 bilion (AS$1=RM4.20) menjelang 2028.

"Maknanya, ia (industri) yang cukup lumayan, jadi kita akan rugi dan terlepas sekiranya kita tidak memahami dan mempromosikan ekosistem pelancongan mesra Muslim yang ditawarkan di Malaysia," katanya dalam temu bual bersama Bernama Radio pada Isnin.

Iklan

Dalam temu bual membincangkan mengenai Persidangan Pelancongan Islam Dunia (WITC) kali keempat yang berlangsung di Petaling Jaya pada 12 dan 13 Sept lepas, Khairul Firdaus berkata, program itu telah berjaya merapatkan jaringan kerjasama semua pemain industri pelancongan Islam.

"WICT juga menarik minat pemain industri bukan Islam, banyak perkongsian kepakaran selain perbincangan menjurus kepada pendekatan terbaik dalam memahami citarasa pelancong Muslim dan diseimbangkan dengan usaha menarik pelancong bukan Islam," katanya.

Iklan

Khairul Firdaus berkata, ekosistem pelancongan mesra Muslim bukanlah menjurus kepada elemen dakwah mahupun menyentuh perihal syariah, sebaliknya lebih kepada menawarkan percutian kondusif meliputi kebersihan, kemudahan untuk menunaikan solat dan beribadah serta akses kepada makanan halal. - Bernama