ALOR SETAR - Agensi pelancongan khususnya yang menguruskan pakej umrah seharusnya menetapkan prosedur lebih ketat untuk menjaga imej negara.
Exco Agama Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh berkata, kes jemaah haji atau umrah melibatkan ‘lelaki berpakaian wanita’ tidak seharusnya berlaku kerana bukan sahaja mencalarkan imej negara malah melibatkan hubungan kerajaan dengan kerajaan Arab Saudi.
Menurutnya, penting bagi jemaah dari negara ini menghormati undang-undang ditetapkan Arab Saudi kerana mereka tegas dalam soal hukum-hakam.
"Kita juga akan memantau agensi pelancongan umrah di negeri ini untuk elak kejadian seumpama berulang. Kita mohon agensi buat prosedur ketat dan membuat semakan terhadap senarai jemaah dalam semua aspek,” katanya.
Dr Ismail berkata, agensi pelancongan sepatutnya mengambil tindakan lebih awal termasuk membuat tapisan.
"Di sana hukuman berat dikenakan, ada warganegara lain dihukum oleh Arab Saudi, kita tak mahu Malaysia atau jemaah dari negara ini dikenakan tindakan kerana akan mengeruhkan banyak pihak. Jadi semua pihak perlu ambil berat perkara ini,” katanya.
Menurutnya, pihaknya turut kesal dengan tindakan usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruzzaman yang mencetuskan kontroversi ketika berada di Tanah Suci yang memakai pakaian jemaah wanita ketika berada di Makkah sehingga tular di media sosial.
"Sedih perkara seperti ini berlaku, dari segi hukum dia lelaki dan mesti berpakaian lelaki. Yang amat dikesali ialah dia memasuki Masjidil Haram dan Madinah sebagai lelaki, tetapi berada di kawasan wanita,” katanya.