Pelajar terharu terima sumbangan komputer riba, wang tunai

Iklan
Mohamad Zahis (dua dari kiri) bersyukur kerana menerima sumbangan wang tunai dan komputer riba daripada UniSZA.

KUALA NERUS - Beberapa pelajar kurang berkemampuan meluahkan rasa syukur kerana terpilih menerima sumbangan komputer riba dan wang tunai daripada Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) sebelum proses kemasukan bagi program ijazah sarjana muda minggu hadapan.

Mohamad Zahis Zahari, 19, berkata, pada mulanya dia terkejut apabila menerima kunjungan daripada pihak universiti itu yang datang menyampaikan bantuan awal sebelum mendaftar sebagai pelajar baharu Ahad depan.

Iklan
Iklan

"Saya terharu apabila menerima sebuah komputer riba untuk kegunaan masa belajar nanti serta wang tunai untuk persediaan masuk ke UniSZA.

"Walaupun terpaksa berjauhan dengan keluarga selepas ini, saya akan lakukan yang terbaik demi mengubah nasib keluarga," katanya.

Iklan

Anak sulung daripada tiga beradik itu kini tinggal bersama ibunya, Halimah Husen Jawas Al Indonusi, 45, yang bekerja sebagai pembantu kedai makan selepas kehilangan bapanya pada awal tahun lalu akibat kanser hati.

Bekas pelajar cemerlang Maahad Tarbiah Marhdiah, Kota Bharu, Kelantan itu menerima tawaran Ijazah Sarjana Muda Pengajian Bahasa Arab.

Iklan

Sementara itu, seorang lagi pelajar, Nur Safuannah Mohd, 20, meluahkan rasa syukur selepas menerima bantuan tersebut.

Katanya, dia tidak mampu untuk membuat persediaan awal ke UniSZA bagi mendaftar sebagai mahasiswa baharu Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Islam.

Anak kelapan daripada 11 adik beradik itu kini tinggal bersama ibunya, Fadzillah Abdullah, 55, selepas kehilangan ayahnya akibat penyakit angin ahmar sejak 10 tahun lalu.

Nur Safuannah (dua dari kiri) ketika menerima kunjungan wakil UniSZA pada Ahad.

"Tiada kata dapat menggambarkan rasa syukur saya atas sumbangan ini. Saya berazam untuk belajar bersungguh-sungguh demi mencapai apa yang dicita-citakan," katanya.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UniSZA, Prof Madya Ts Dr Mohd Hafiz Yusoff berkata, beberapa wakil universiti telah turun padang ke beberapa lokasi untuk menyantuni pelajar terpilih yang menerima bantuan tersebut pada Ahad.

Katanya, inisiatif bantuan awal yang diberikan kepada pelajar dari kumpulan B40 atau keluarga kurang berkemampuan itu sebagai tanda keprihatinan pihak universiti sekali gus meningkatkan motivasi mereka.

"UniSZA sentiasa memberi bantuan kepada semua pelajar yang memohon bantuan seperti Program Pembangunan Siswa Sulong 3.0, agihan zakat, bakul makanan, pinjaman dana makan minum, bantuan komputer riba dan tawaran Job on Campus.

"Kita juga bekerjasama dengan agensi luar untuk mendapatkan bantuan zakat dan sumbangan lain seperti bank, pelbagai yayasan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC)," katanya.