KKDW, BHPetrol meterai MoU buka stesen minyak di luar bandar

Iklan
Ahmad Zahid bersama Mohamed Khaled menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Bagi Usahasama Strategik di antara Agensi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bersama Boustead Petroleum Marketing Sdn Bhd (BHPETROL), pada Isnin. Foto Bernama

PUTRAJAYA - Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan Boustead Petroleum Marketing Sdn Bhd (BHPetrol) hari ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi membangunkan stesen minyak di luar bandar sekali gus mencipta peluang pekerjaan di kawasan itu.

MoU itu dimeterai BHPetrol dengan lapan agensi di bawah KKDW termasuk Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah dan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan.

Iklan
Iklan

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyaksikan majlis menandatangani MoU itu oleh Ketua Pegawai Eksekutif BHPetrol, Azizul Azily Ahmad bersama pengurus besar agensi terbabit.

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, dalam ucapan pada majlis itu berkata, BHPetrol melabur RM45 juta untuk pembinaan 10 stesen minyak di lapan lokasi yang telah dimuktamad manakala dua lagi masih dalam penelitian.

Iklan

Antaranya Kampung Awah di Temerloh, Pahang; Sri Gading Batu Pahat di Johor; Taman Kesedar Putra 2 di Kelantan; Tumbi Rapat, Jeli, Kelantan; Bandar Penawar di Johor dan Kubang Menerong di Pulau Pinang.

Ahmad Zahid berkata, KKDW sentiasa berusaha mengurangkan jurang antara desa dan bandar untuk memastikan pertumbuhan ekonomi yang lebih seimbang serta inklusif.

Iklan

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada BHPetrol atas keprihatinan mereka terhadap masyarakat luar bandar melalui usaha sama strategik dengan agensi di bawah KKDW dalam usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat secara menyeluruh.

"Usaha sama ini akan membantu kementerian dalam mencapai matlamat pembangunan ekonomi serta keusahawanan desa dan inisiatif ini bukan sahaja memacu teknologi di kawasan setempat tetapi turut memberi peluang kepada usahawan desa untuk memasarkan produk mereka sekali gus meningkatkan pendapatan,” katanya.

Pada majlis itu, anak syarikat Majlis Amanah Rakyat (MARA) iaitu MARA Incorporated Sdn Bhd memperuntukkan RM1.5 juta bagi pemasangan Panel Solar PV (Fotovoltaik) di 50 stesen minyak BHPetrol sedia ada.

Turut diadakan sesi penyerahan surat niat daripada BHPetrol kepada MARA bagi penempatan produk industri kecil sederhana usahawan bimbingannya di 300 kedai serbaneka BHPetromart seluruh Malaysia.

"Ia sekali gus menjadi platform pemasaran yang efisien untuk membantu usahawan Bumiputera meluaskan pasaran produk mereka dalam usaha menyediakan ekosistem keusahawanan yang menyeluruh,” kata Ahmad Zahid. - Bernama