Ahli GISBH didoktrin menipu, tidak mengaku anak - KPN

Iklan
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain melihat rampasan pelbagai jenis buku dan dokumen berkaitan GISB Holdings (GISBH) pada sidang media di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (Pulapol) pada Isnin. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendedahkan ahli dan kanak-kanak di bawah seliaan kumpulan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) sudah didoktrin untuk menipu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, ahli GISBH dilatih atau didoktrin untuk tidak bercakap benar mengenai anak hasil perkahwinan mereka.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, tindakan itu dilakukan bagi mengelak mereka daripada dikenakan hukuman berhubung pengabaian kanak-kanak.

"Mereka ahli GISBH tidak akan mengaku anak hasil perkongsian perkahwinan mereka sedangkan kanak-kanak yang diselamatkan daripada rumah amal adalah anak ahli kumpulan itu.

Iklan

"Ini adalah satu bentuk penipuan yang telah didoktrainkan dalam kalangan ahli GISBH," katanya dalam sidang akhbar di Pusat Latihan Polis (Pulapol) pada Isnin.

Mengulas lanjut, Razarudin berkata, kanak-kanak di rumah amal kumpulan itu akan diklasifikasikan sebagai anak yatim.

Iklan

Dengan kaedah itu, kata beliau, pihak kumpulan boleh mendapat sumbangan daripada orang ramai bagi pengurusan anak yatim.

"Ada juga ibu bapa kanak-kanak yang kita selamatkan turut ditahan polis. Mereka tidak mahu mengaku bahawa kanak-kanak di rumah amal adalah anak-anak mereka.

"Ini kerana GISBH juga memaparkan dalam laman web sumbangan untuk 'anak yatim', sedangkan sebenarnya anak-anak ahli.

"Ia adalah satu penipuan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," ujar beliau lagi.

Beliau berkata, kebanyakan ibu bapa ahli GISBH ditahan tidak mahu mengaku kanak-kanak di rumah amal adalah anak mereka.

Bagi mereka, jelasnya, lebih baik tidak mengaku kerana tidak ada kesalahan berhubung perkara itu.

Selain itu kata beliau, kanak-kanak juga telah didoktrin untuk mengaku sebagai anak yatim dan tidak mengenal ibu bapa masing-masing.

Tambahnya lagi, hasil keterangan direkodkan, pihak polis mendapati terdapat kanak-kanak terutamanya di bawah 12 tahun yang tinggal di rumah kebajikan GISBH tidak mengenali ibu bapa mereka yang merupakan kalangan ahli kumpulan.

Dalam pada itu, Razarudin berkata, siasatan juga mendapati ada ahli GISBH yang berpoligami dengan beristeri empat mempunyai 34 anak.

"Ada berkahwin empat dan mempunyai 34 anak tetapi hanya ada dua orang anak yang duduk dengannya.

"Malah kalau kita tanya apa nama anak, mereka pun mungkin dia tidak tahu kerana terlalu ramai," katanya.