Renang: Remaja 14 tahun pecah rekod Para Sukma

Iklan
Perenang para Kuala Lumpur, Asyiil Raziin Razman (kanan), bergambar bersama pingat emas setelah menjuarai acara 100M Gaya Bebas Wanita S14, sementara Naznyn Nazlee Hadanee (kiri) bergambar bersama pingat perak yang dimenanginya dalam acara 100M Gaya Kuak Dada Wanita SB4-SB6, pada temasya Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) Sarawak 2024, pada Isnin. Foto Bernama

INISIATIF keluarga Asyiil Raziin Razman menghantarnya ke kelas renang seawal usia sembilan tahun di Setiawangsa, Kuala Lumpur nyata berbaloi apabila beliau berjaya memecahkan rekod temasya Para Sukan Malaysia (Para Sukma) Sarawak 2024 pada usia 14 tahun, hari ini.

Walaupun penampilan di Bumi Kenyalang merupakan kali pertama buatnya, remaja yang mewakili Kuala Lumpur dalam 100 meter gaya bebas S14 (kecatatan intelektual) wanita itu berkata, beliau tidak berasa gugup kerana acara kolam renang sudah ‘sebati’ dengan dirinya.

Iklan
Iklan

"Alhamdullilah rezeki, gembira sebab ini Sukma pertama saya. Dalam keluarga saya seorang sahaja yang berenang sebab dulu dihantar ayah ke kelas renang dan cikgu yang pilih saya untuk mewakili Kuala Lumpur,” katanya ketika ditemui Bernama di Pusat Akuatik Pandelela Rinong di sini pada Isnin.

Anak bongsu daripada dua adik-beradik itu terdahulu merekodkan 1 minit 23.35 saat (s) untuk memadamkan catatan 1:26.29s yang dibuat perenang Kedah, Puteri Nur Diyana Megat pada 2022, sekali gus menyaksikan beliau menuai pingat emas pertamanya dalam temasya dwitahunan itu.

Iklan

Wakil Negeri Sembilan, Aleeya Fariesya Faizul Rizal memperoleh pingat perak selepas merekodkan 1:23.41s manakala Selangor menuai pingat gangsa dengan catatan 1:23.46s bagi acara sama menerusi Ainun Hanifah Yulizaruna Affendi.

Sementara itu, perenang negara Abd Halim Mohammad memaklumkan ketenangan menjadi 'kunci' untuk beliau memecahkan rekod kebangsaan dalam acara 400m gaya bebas lelaki S8-S9 (kecatatan fizikal) selepas wakil Sabah itu merekodkan 5:21.99s sekali gus meleburkan catatan 5:50.54s dibuat Rusdianto Rusmadi tahun lepas.

Iklan

"Saya tidak pernah bertanding dalam acara ini jadi memang ikut cakap jurulatih tapi sebenarnya ketenangan memang membantu. Saya suka suasana senyap sebab bising buat saya hilang fokus,” katanya.

Sementara itu, Rusdianto memperoleh perak (5:24.27s) manakala Firdaus Fariduddin merangkul gangsa dengan catatan 5:54.24s.

Bernama sebelum ini melaporkan Abd Halim bertekad untuk dinobatkan sebagai atlet terbaik dan beliau ketika ini sudah mengumpul dua pingat emas menerusi acara 100m gaya kuak dada lelaki S8 dan 400m gaya bebas lelaki S8-S9. - Bernama