Kes turunkan bendera Malaysia: Polis buka kertas siasatan

Iklan
Tangkap layar video tular yang memaparkan sekumpulan individu bertindak menurunkan bendera Malaysia dan menaikkan bendera negeri Sabah dan Sarawak.

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuka kertas siasatan berhubung tindakan sekumpulan individu menurunkan bendera Malaysia dan diganti dengan bendera Sabah serta Sarawak.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya mengesan perbuatan tidak bertanggungjawab itu yang dimuat naik dalam platform media sosial TikTok.

Beliau berkata, tindakan itu dilakukan semasa perhimpunan aktivitis oleh sekumpulan individu disyaki warganegara Malaysia di luar negara.

Iklan

"Kes ini disisat di bawah Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 terhadap penularan video bendera Malaysia yang diturunkan dan diganti dengan bendera Sabah dan Sarawak.

"Siasatan mendapati kejadian itu berlaku di Melbourne, Australia pada 16 September lalu.

Iklan

"Ia kononnya sebagai simbolik menamatkan penjajahan Malaysia terhadap dua negeri berkenaan dan mahu menjadikan dua negeri itu sebagai republik," katanya ketika sidang akhbar di Pusat Latihan Polis (Pulapol) pada Isnin.

Mengulas lanjut, Razarudin berkata, pihak polis menerima sebanyak 35 laporan mengenai penularan video berkenaan.

Beliau berkata, ia membabitkan 34 laporan polis dibuat di Sabah dan satu laporan di Kuala Lumpur.

Kata Razarudin, siasatan pihaknya mendapati video berkenaan ditularkan oleh seorang pemilik akaun media sosial iaitu warga tempatan beralamat di Sabah yang memiliki dua rekod jenayah lampau.

Jelasnya, siasatan jenayah lampau itu dibuat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Tambahnya, kes tersebut sedang dibicarakan di Mahkamah Kota Kinabalu.

Namun begitu katanya, suspek dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM3,000 sementara menunggu sebutan semula kes pada November depan.

"Kita sedang siasat hubungan antara suspek dengan individu yang dirakam melakukan perbuatan menurunkan bendera Malaysia itu," ujarnya.

Terdahulu tular video dilaman sosial berdurasi lapan minit 13 saat menunjukkan sekumpulan individu bertindak menurunkan bendera Malaysia dan menaikkan bendera Sabah dan Sarawak pada paras separuh tiang di hadapan bangunan Parlimen Victoria di Melbourne, Australia.