Kelantan beri insentif RM251,000 pemenang pingat Sukma Sarawak

Iklan
Pada Sukma 2024, Kelantan meraih tujuh pingat emas, 13 perak dan 17 gangsa.

KERAJAAN Kelantan menyampaikan insentif sebanyak RM251,000 kepada 37 atlet termasuk jurulatih yang meraih pingat pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2024 di Sarawak baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat negeri, Zamakhshari Muhamad berkata, insentif itu diberikan mengikut kategori yang dimenangi termasuk acara individu dan berpasukan.

Iklan
Iklan

"Pada Sukma 2024, Kelantan meraih tujuh pingat emas, 13 perak dan 17 gangsa, jadi bagi acara individu pemenang pingat emas menerima RM2,500, perak (RM2,000) dan gangsa (RM1,500), manakala bagi acara berpasukan tiga hingga enam orang pingat emas menerima RM3,000, perak (RM2,500) dan gangsa (RM2,000).

"Bagi acara berpasukan tujuh hingga 10 orang pula pingat emas menerima RM4,500, pingat perak (RM3,500) dan pingat gangsa (RM2,500 ),” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyampaian Insentif Sukma Sarawak 2024 yang turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Mohd Nasuruddin Daud.

Iklan

Pada temasya edisi ke-21 itu yang berlangsung dari 17 Ogos hingga 24 Ogos lepas, kontinjen tuan rumah dinobatkan sebagai juara dengan 76 emas, 55 perak dan 70 gangsa, diikuti Wilayah Persekutuan sebagai naib juara (75-65-72) dan Selangor ketiga (56-64-61), manakala Kelantan di kedudukan ke-14 daripada 15 kontinjen yang bertanding.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai persiapan Kelantan sebagai tuan rumah Sukma 2028, Zamakhshari berkata, proses dari segi kerja tanah dan pembinaan sudah dilakukan di lokasi terlibat walaupun ada sedikit kelewatan semasa kerja pecah batu hampar. - Bernama

Iklan