Sultan Kedah berkenan lawat mangsa banjir di PPS

Iklan
Sultan Kedah berkenan menziarahi Mohd Afiq Ramadhan 9, yang ditemani abangnya, Mohd Danial Ashraf, 20, di PPS Stadium Sultan Abdul Halim, Suka Menanti pada Isnin. Foto Bernama

ALOR SETAR - Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah berkenan berangkat melawat mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Stadium Sultan Abdul Halim, Suka Menanti di sini pada Isnin.

Baginda meluangkan masa hampir sejam beramah mesra dan menyantuni penduduk yang terjejas akibat banjir.

Iklan
Iklan

Terdahulu, baginda berkenan mendengar taklimat yang disampaikan oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor; Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Seri Norizan Khazali dan beberapa ketua agensi serta jabatan berkaitan.

Baginda turut berkenan mengurniakan sumbangan peribadi berjumlah RM300 kepada setiap ketua isi rumah menerusi Tabung Amanah Sultan Kedah.

Iklan

Menurut laporan Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat, PPS Stadium Suka Menanti yang dibuka sejak 19 September itu masih menempatkan seramai 588 mangsa daripada 170 keluarga setakat Isnin.

Sultan Sallehuddin berkenan mencemar duli berangkat melawat mangsa banjir di PPS Stadium Sultan Abdul Halim, Suka Menanti pada Isnin. Foto Bernama

Iklan

Seorang mangsa banjir, Natrah Saad, 64, dari Kampung Alor Merah di sini yang menjaga cucu lelakinya, Mohd Afiq Ramadhan Abdullah, 9, yang menghidap penyakit cerebral palsy sejak kecil bersyukur dan menjunjung kasih atas sumbangan yang dikurniakan Sultan Kedah kepada semua mangsa di PPS itu.

Sementara itu, Norizan berkata, baginda turut menitipkan pesanan kepada mangsa banjir di PPS agar menjaga keselamatan dan kesihatan dalam tempoh diuji bencana alam ini.

Norizan turut berpuas hati dengan semua agensi, jabatan dan pegawai daerah yang terlibat kerana memberikan komitmen tinggi sejak hari pertama banjir berlaku di Kedah. - Bernama