PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan di sini pada Isnin mengekalkan hukuman penjara tujuh tahun dengan satu sebatan terhadap seorang bekas guru pendidikan jasmani kerana melakukan amang seksual ke atas dua murid perempuan di sebuah sekolah rendah di Dungun, Terengganu lima tahun lepas.
Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, yang menolak rayuan akhir Tuan Sembok Tuan Puteh, 58, berkata, hukuman bagi ketiga-tiga pertuduhan yang berkuat kuasa pada 1 November 2022 adalah tidak keterlaluan dan tidak memerlukan campur tangan mahkamah.
"Mahkamah ini mendapati sabitan bagi ketiga-tiga pertuduhan adalah selamat dan perayu bernasib baik kerana Timbalan Pendakwa Raya tidak memfailkan rayuan silang berhubung hukuman.
"Hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen adalah rendah dan ia turut dikekalkan oleh Mahkamah Tinggi. Oleh itu, mahkamah ini menolak rayuan perayu dan mengekalkan sabitan serta hukuman,” katanya ketika menyampaikan keputusan itu yang dibuat secara sebulat suara.
Turut bersidang Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Azmi Ariffin dan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Noorin Badaruddin.
Menyentuh hujah bahawa Hakim Mahkamah Sesyen terkhilaf apabila menyoal saksi pendakwaan semasa perbicaraan, Ahmad Zaidi berkata, soalan yang dikemukakan tidak memprejudiskan perayu.
"Kami bersetuju dengan Timbalan Pendakwa Raya bahawa peguam perayu tidak pernah dihalang daripada menyoal balas saksi dan soalan oleh hakim bicara adalah untuk mendapatkan pencerahan serta penjelasan,” katanya.
Tuan Sembok dituduh melakukan amang seksual fizikal terhadap kedua-dua mangsa yang ketika itu berusia sembilan tahun dengan memegang paha, punggung dan kemaluan mereka.
Kesalahan itu dilakukan di dua lokasi berbeza di tepi meja guru dan bilik rawatan sebuah sekolah di Dungun pada 10 pagi antara 15 April dan 18 April 2019 mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Prosiding pada Isnin dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Eyu Ghim Siang selaku responden manakala perayu diwakili peguam Awang Armadajaya Awang Mahmud. - Bernama