Majlis makan malam amal TMESA tampil Jamal Abdillah, Hattan

Iklan
Gandingan penyanyi legenda, Datuk Jamal Abdillah (kanan) dan Datuk Hattan diyakini mampu menarik jumlah pengunjung yang ramai tanpa mengira usia.

SHAH ALAM - Majlis Makan Malam Amal Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Tengku Mahmud Besut Terengganu (TMESA), Night of Love And Compassion menampilkan persembahan penyanyi legenda, Datuk Jamal Abdillah dan Datuk Hattan atau nama sebenarnya Mohd Shukri Shahabudin sebagai tarikan utama program tersebut.

Presidennya, Datuk Muhammad Nasir Hamzah berkata, penampilan gabungan selebriti tanah air itu disifatkan sebagai satu pilihan ‘evergreen’ dan diyakini mampu menarik jumlah pengunjung yang ramai tanpa mengira usia bagi membantu pihaknya mengutip dana untuk kelangsungan aktiviti-aktiviti pertubuhan bukan kerajaan itu (NGO).

Iklan
Iklan

Muhammad Nasir

Ujar beliau, pemilihan berkenaan berpotensi memberi persembahan terbaik dan menghiburkan kepada semua tetamu yang hadir sempena majlis anjuran TMESA itu.

Iklan

"Kalau hendak berniaga sekalipun kita pasti akan pilih produk yang boleh dijual di pasaran. Contohnya Hattan dan Jamal, (nyanyian mereka) bila-bila masa pun akan laku.

"Saya yakin dengan persembahan yang diberikan oleh mereka, pengunjung tidak akan kerugian apa-apa pun,” katanya ketika sidang media Makan Malam Amal: ‘Night of Love And Compassion’ di Dewan Karangkraf, Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Isnin.

Iklan

Muhammad Nasir (tengah) ketika dalam sidang media Makan Malam Amal: ‘Night of Love Compassion’ di Dewan Karangkraf, Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Isnin.

Acara berkenaan bakal berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur pada 14 Disember ini.

Menurut Muhammad Nasir yang juga Penasihat Bersama Kumpulan Karangkraf, pihaknya menyasarkan kutipan RM1 juta bagi program berkenaan dan hasilnya akan digunakan bagi tujuan pelaksanaan kegiatan kebajikan dan tajaan kepada pelajar yang memerlukan.

Ulasnya, selain memberikan bantuan kepada pelajar, pihaknya juga menyalurkan sumbangan tajaan untuk pembangunan sekolah.

"Kita pernah bekalkan lebih kurang 40 penyaman udara pada tahun lepas. Kita juga bekalkan komputer dan mengubah suai dewan sekolah untuk keselesaan pelajar.

"Itu antara yang sumbangan kita bagi memajukan pendidikan anak-anak dan juga bangsa kita,” ujarnya.

Orang ramai boleh membeli tiket bagi majlis tersebut pada harga RM15,000, RM10,000, RM8,000, RM6,000 dan RM4,000 bagi satu meja.

Untuk maklumat lanjut berhubung pembelian tiket boleh menghubungi Hatta, di talian 018-2239934 atau Nik Ahmad, 019-4524567.