KUALA LUMPUR - Syarikat pengurusan dana Islam, PMB Investment Bhd (PMB Investment) yakin asas Malaysia masih utuh walaupun penularan Koronavirus.
Merujuk kepada sindrom penafasan akut teruk (SARS), ia telah memberi kesan kepada pasaran global bagi suku pertama 2003, Ketua Pegawai Eksekutif, Najmi Haji Mohamed berkata, SARS telah mengheret turun penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) kepada hampir lapan peratus pada bulan Januari tahun tersebut.
"Tetapi akhirnya, ia adalah reaksi sementara kerana asas Malaysia masih kukuh dan kita melihat FBM KLCI meningkat lebih 20 peratus menjelang akhir tahun 2003.
"Sebab itulah kami berkata, mungkin ini hanya tindak balas sementara," katanya pada sidang media selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara PMB Investment dan Bank Simpanan Nasional (BSN) di sini hari ini.
Ditanya sama ada syarikat itu telah menyesuaikan portfolio pelaburannya di tengah-tengah penularan koronavirus, Najmi berkata ia mengimbangi portfolionya dari semasa ke semasa, kerana dana yang berbeza mempunyai mandat dan objektif yang berbeza.
"Apabila koronavirus tercetus bulan lepas, kami telah pun menempatkan kedudukan PMB Investment di kebanyakan sektor penjagaan kesihatan dan sarung tangan.
"Kami menjangkakan bahawa sektor ini akan mendapat manfaat paling banyak berbanding dengan sektor pelancongan yang paling banyak terjejas akibat virus itu," katanya.
Walaupun dalam persekitaran mencabar, Najmi menjangkakan syarikat itu masih akan mengisytiharkan dividen dana untuk tahun ini disebabkan oleh asas yang kukuh di negara ini, terutamanya, ekuiti patuh Shariah yang dilaburkan oleh syarikat itu adalah dari Malaysia.
Di bawah MoU itu, BSN telah dilantik sebagai ejen unit amanah institusi ketujuh PMB Investment untuk mempromosikan dan mengagihkan dua daripada 15 produk unit amanah iaitu PMB Shariah Premier Fund (dana ekuiti) dan PMB Dana Pengurusan Tunai Shariah (dana pasaran wang).
Najmi mengunjurkan jualan kedua-dua produk itu mencapai antara RM10 juta dan RM20 juta menjelang akhir tahun. - Bernama