Saya tidak pernah halang sesiapa untuk tidak terima suntikan vaksin - Dr Roland

Iklan
Gambar hiasan

SEPANG - Pengasas The KL Sky Clinic Dr Roland Victor, yang berdepan pertuduhan membuat dan memulakan hantaran video jelik berhubung vaksin Covid-19 berkata, beliau tidak pernah menghalang sesiapa untuk tidak menerima suntikan vaksin kerana ia pilihan individu itu sendiri.

Dr Roland, 42, berkata, pada 7 Februari 2021, beliau membuat hantaran video siaran langsung di laman Facebook klinik itu berkaitan vaksin mRNA (messenger asid ribonukleik) selama kira-kira 56 minit untuk memberi penerangan dan pengetahuan kepada orang ramai.

Iklan
Iklan

"Dalam mana-mana bahagian penerangan pada video saya muat naik, saya tidak pernah menghalang sesiapapun untuk tidak menerima suntikan vaksin kerana pemberian produk ini berdasarkan pilihan individu itu sendiri.

"Video siaran langsung itu menerangkan tentang fungsi vaksin, cara mRNA membina imuniti badan serta kesan sampingan akan dirasai atau dihadapi selepas mengambil suntikan vaksin.

Iklan

"Sepanjang tempoh membuat siaran langsung itu, saya tidak ada menyatakan apa-apa isi kandungan bersifat jelik malah keseluruhan video tersebut langsung tidak mempunyai apa-apa unsur penipuan, palsu atau perkataan yang boleh menyakitkan hati orang lain," katanya ketika membacakan pernyataan saksi pada hari pertama prosiding membela diri di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman.

Bekas Penolong Pengarah Kanan di Unit Kawalan Amalan dan Perubatan Swasta di Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya itu berkata,kandungan video tersebut adalah berdasarkan rujukan dokumen daripada Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan, Kementerian Kesihatan serta yang dikeluarkan oleh Pfizer.

Iklan

"Saya juga menerangkan dan menjawab soalan ditanya secara langsung oleh penonton tentang isu semasa dan subjek-subjek kesihatan.

"Saya menterjemahkan dokumen tersebut daripada Bahasa Inggeris ke Bahasa Melayu bagi membantu masyarakat memahami tentang cara vaksin berfungsi, kandungan vaksin dan juga kesan sampingan vaksin mRNA Pfizer Comirnaty," katanya.

Dr Roland berkata, segala penerangan dalam video itu adalah berdasarkan pembacaan dan kajian daripada pelbagai artikel terkini dan atas kapasitinya sebagai seorang doktor, beliau harus memberikan informasi yang betul serta cepat kepada orang awam.

"Video itu tidak menjejaskan aktiviti vaksinasi kebangsaan pada ketika itu dan kadar sambutan vaksinasi adalah hampir 90 peratus.

"Saya sendiri di The KL Sky Clinic turut terlibat dalam program imunisasi kebangsaan dalam membekalkan vaksin Sinovac ketika itu," katanya yang berkhidmat di klinik itu selama 10 tahun.

Prosiding hari ini dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Zuhaini Muhamad Amin manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Ahmad Zaidi Zainal.

Pada 21 Mac lepas, Ahmad Fuad memerintahkan Dr Roland membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Pada 5 Julai 2021, beliau didakwa membuat dan memulakan hantaran video bersifat jelik dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain menggunakan laman profil Facebook The KL Sky Clinic pada 10.30 malam 7 Februari 2021.

Dr Roland didakwa mengikut Seksyen 233(1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang membawa hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya serta berdepan denda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.

Perbicaraan bersambung esok. - Bernama