KOTA BHARU - Seorang penunggang motosikal maut digilis sebuah lori simen dalam kemalangan melibatkan lima kenderaan di persimpangan lampu isyarat Limbat di sini, pada Isnin.
Mangsa yang juga seorang kontraktor, Farhan Harith Che Fauzi, 30, maut akibat kecederaan parah pada kepala dan badan.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu menerima laporan berkaitan kemalangan itu pada jam 12.50 tengah hari.
Menurut beliau, hasil siasatan mendapati kemalangan berlaku pada jam 12.30 tengah hari melibatkan lori simen yang dipandu seorang lelaki berusia 52 tahun.
"Lori dipandu dari arah Peringat menghala Pasir Tumboh dipercayai hilang kawalan lalu melanggar tiga motosikal dan sebuah kenderaan pacuan empat roda di laluan sama yang sedang menunggu lampu isyarat.
"Akibatnya, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan serta disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan akhbar pada Isnin.
Ujar Mohd Rosdi, mayat mangsa dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian untuk proses bedah siasat.
"Ujian urin dijalankan ke atas pemandu lori disahkan positif methamphetamine,” katanya.
Tambah beliau, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda minimum RM50,000 dan tidak maksimum RM100,000, jika sabit kesalahan.
"Polis meminta orang ramai yang melihat kejadian kemalangan ini tampil hadir untuk membantu siasatan di BSPT IPD Kota Bharu atau boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat Trafik,” katanya.
Pihak polis juga menggesa orang ramai supaya berhati-hati dalam pemanduan semasa menggunakan jalan raya dan mematuhi undang-undang serta isyarat lalu lintas.