Papar gambar pemimpin politik dalam khutbah Jumaat, 4 pegawai JAIM kena tindakan

Iklan
Rahmad (dua dari kiri) mengiringi Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam (kanan) melawat bangunan sekolah selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Sekolah Rendah Agama (SRA) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Al-Qusyairi Kampung Tersusun Bukit Larang, Telok Mas di sini, pada Isnin. Foto Bernama

MELAKA - Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) mengambil tindakan tatatertib terhadap empat pegawainya berhubung penggunaan gambar pemimpin politik pada paparan infografik slaid khutbah Jumaat di masjid-masjid di negeri itu, minggu lepas.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, pihaknya telah menyiasat perkara itu dan mendapati ia memang berlaku dan mereka yang terlibat mengakui kesilapan tersebut.

Iklan
Iklan

"Mereka merupakan kakitangan Bahagian Pengurusan Masjid yang bertanggungjawab melaksanakan penyediaan slaid tersebut... kita telah mengambil tindakan tegas, ada di antara mereka telah diberhentikan selain ada yang ditukarkan ke bahagian serta daerah lain.

"Ia satu kesilapan yang sama sekali tidak boleh dilakukan dan JAIM memohon maaf atas kekhilafan tersebut serta akan memastikan perkara seumpama ini tidak berlaku lagi pada masa hadapan," katanya kepada pemberita semasa menghadiri Majlis Perasmian Sekolah Rendah Agama JAIM Al-Qusyairi Kampung Tersusun Bukit Larang, Telok Mas yang disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam.

Iklan

Infografik khutbah bertajuk 'Negaraku, Tanah Airku' pada 20 September lepas itu, yang disediakan oleh Bahagian Pengurusan Masjid JAIM bersempena Sambutan Hari Malaysia, memaparkan wajah seorang ketua parti pembangkang dan telah mencetuskan perdebatan hangat.

JAIM sebelum ini telah mengeluarkan permohonan maaf dan meminta slaid infografik itu yang disiarkan di papan layar semua masjid di Melaka ditarik balik. - Bernama

Iklan