Sokong cadangan wujudkan cawangan SPRM di KLIA

Iklan
Cadangan mewujudkan cawangan baharu SPRM di KLIA, Sepang sebagai usaha untuk membanteras sindiket ‘counter setting’. Gambar hiasan

SHAH ALAM - Cadangan mewujudkan cawangan baharu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang sebagai usaha untuk membanteras sindiket ‘counter setting’ amat wajar dilakukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ahli Majlis Tertinggi Rasuah Busters Kedah, Mohd Syahir Ismail berkata, ia dapat memastikan pegawai SPRM memantau dan membuat pemeriksaan secara berterusan kepada mereka yang terlibat dengan rasuah.

Iklan
Iklan

"Kebaikan yang kita peroleh daripada cadangan ini ialah dapat membuat pemantauan dengan lebih kerap sekali gus mampu mengurangkan budaya terkutuk ini dalam kalangan pegawai imigresen.

"Biasanya jika ada pegawai memantau, mereka yang terlibat akan lebih berdisiplin dan berintegriti sewaktu menjalankan tugas,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Iklan

Media sebelum ini melaporkan, SPRM disaran mewujudkan cawangan baharu di KLIA sebagai usaha menangani kelemahan dan membanteras ‘counter setting’ yang tidak berkesudahan.

Penganalisis rasuah, Noor Mohamad Shakil Hameed berkata, SPRM wajar mempertimbangkan cadangan berkenaan kerana ejen sindiket dilihat cukup licik dan sentiasa mencari jalan untuk memujuk pasukan penguat kuasa dengan pelbagai tawaran yang lumayan.

Iklan

Mengulas lanjut, Mohd Syahir memaklumkan, cadangan tersebut merupakan pendekatan terbaik untuk mengurangkan isu rasuah yang makin berleluasa terutamanya menerusi pintu masuk udara negara.

"Cadangan ini juga harus disertai dengan melantik penyelia yang terbukti menjalankan tugas secara berintegriti, mengadakan kempen dan mengenakan hukuman lebih berat serta menginsafkan,” tegasnya.

Pada masa sama, beliau yakin dan percaya dengan adanya sistem berikut mampu membuatkan negara bebas daripada gejala rasuah.

"Kita memerlukan kerjasama yang jitu dan kempen kesedaran berterusan pelbagai pihak, dari peringkat kanak-kanak hingga dewasa.

"Tiada pemberi rasuah maka tiada penerima rasuah,” ujarnya.