SHAH ALAM - Mengembalikan semula Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) adalah penting supaya tahap pencapaian pelajar dapat dinilai dengan lebih adil.
Itu antara pendapat ibu bapa yang tidak bersetuju dengan keputusan Kementerian Pendidikan (KPM) mengekalkan pemansuhan kedua-dua peperiksaan tersebut.
Salah seorang ibu, Noor Hidayatul Nazarah Othman, 33, berkata, UPSR dan PT3 sebelum ini jelas dapat menilai kecemerlangan pelajar, sekali gus menjadikan sistem pendidikan lebih adil.
"Apabila keputusan keluar, pelajar sendiri dapat menyaksikan usaha yang mereka berikan diterjemahkan ke atas kertas peperiksaan tersebut.
"Bukan itu sahaja, bagi pelajar Tahun Enam, UPSR dapat membuatkan mereka lebih bersedia bagi menghadapi cabaran untuk memasuki sekolah menengah,” kata ibu kepada dua anak itu kepada Sinar Harian pada Isnin.
Noridayu Muhamad Tahir, 38, juga sependapat bahawa kedua-dua peperiksaan tersebut perlu dikembalikan semula, dalam masa sama mengekalkan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) sebagai salah satu kaedah penilaian.
"Ini bagi memudahkan ibu bapa memantau perkembangan pelajaran anak-anak terutama yang masih bersekolah rendah. Guru-guru juga dapat menilai anak-anak murid mereka secara keseluruhan,” ujarnya.
Banyak perkara perlu diteliti jika mahu kembalikan semula UPSR, PT3
Itu antara pendapat ibu bapa yang menyokong keputusan KPM mengekalkan pemansuhan peperiksaan tersebut.
Salah seorang bapa, Mohd Radzi Mohamed Tahir, 51, berpandangan, sekiranya dikembalikan semula kedua-dua peperiksaan itu, banyak proses perlu dirombak semula, sekali gus menyusahkan pelajar dan guru.
"Bukan sahaja kasihankan mereka yang bertungkus-lumus mengubah sistem pembelajaran, tetapi juga anak-anak kita perlu menerima tempias sekali lagi menghadapi perubahan ini.
"Jadi, saya bersetuju dengan Menteri Pendidikan. Kita perlu elakkan anak-anak menjadi seperti ‘tikus makmal’,” ujarnya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Bagi suri rumah, Sabariah Mat Taib, 52, pula, mengembalikan semula peperiksaan awam mungkin lebih sesuai untuk pelajar di sekolah rendah sahaja.
"Ini kerana pelajar sekolah rendah perlu bersiap sedia untuk menghadapi suasana pelajaran berbeza di sekolah menengah.
"Contohnya seperti saya yang mempunyai seorang anak di Tingkatan Satu, mereka perlu beri perhatian kepada kursus yang ingin diceburi apabila di universiti nanti kerana pada tahap ini, mereka sudah pandai membuat keputusan,” ujarnya.