PAMERAN Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) tidak dapat diadakan pada tahun 2020 kerana pandemik Covid-19.
Acara yang dianjurkan dua tahun sekali itu terpaksa direhatkan seketika berikutan pendekatan mitigasi kerajaan dalam usaha memutuskan rantaian jangkitan penyakit tersebut.
Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) kemudian menghidupkan kembali MAHA pada tahun 2022, namun memerlukan masa untuk kembali meriah disebabkan ekonomi negara masih dalam proses pemulihan akibat pandemik.
Pun begitu, MAHA 2022 berjaya menarik lebih 1.4 juta pengunjung termasuk 266,000 orang secara maya.
Tahun ini, MAHA kembali lagi, menampilkan 48 segmen seperti Kingdom of Fruit, Laman Sayur dan Herba, Laman Perikanan, Laman Ternakan dan Laman Mekanisasi.
Walaupun sudah melabuhkan tirai, kemeriahan MAHA 2024 yang berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang pada 11 hingga 22 September lalu masih lagi diperkatakan.
Orang ramai masih berkongsi kenangan mengunjungi pameran itu di media sosial masing-masing.
Lebih menarik, penganjuran yang sudah berusia 100 tahun itu mencatatkan nilai jualan langsung lebih RM41 juta.
Bagi yang tidak tahu sejarah MAHA, ia bermula mengambil nama persatuan Malayan Agri-Horticulture Association (MAHA) yang ditubuhkan pada Oktober 1922.
Pertunjukan dan pameran pertama MAHA anjuran persatuan tersebut diadakan di Padang Kelab Lumba Kuda Selangor dari 30 Jun hingga 2 Julai 1923.
Kini, usaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dan agensi di bawahnya untuk meneruskan tradisi MAHA membuahkan hasil.
Seakan-akan sudah menemui kembali rentaknya, pameran pertanian terbesar di Asia Tenggara itu akhirnya berjaya memecah rekod pengunjung paling ramai sepanjang 100 tahun penganjurannya. Seorang penjual pisang goreng dinobatkan sebagai pengunjung kelima juta.
Kerjasama agensi di bawah kementerian itu seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) serta Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia harus diberi pujian.
Tidak lupa peranan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Kawal Selia Padi dan Beras (KPB), Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), Jabatan Pertanian (DOA) serta Bank Pertanian Malaysia (Agro Bank).
Penulis yang membuat liputan selama lima hari di MAHA 2024 juga mendapati penganjuran kali ini lebih tersusun kerana mempunyai petugas sukarelawan yang ramai.
Hampir di setiap lokasi baik di tempat menunggu bas, ruang pameran termasuk pavilion mempunyai sukarelawan yang bersiap sedia menunggu di bawah khemah dan di tepi jalan.
Kehadiran sukarelawan pada acara besar ini amat membantu, apatah lagi mereka boleh menjawab apa jua soalan dan pertanyaan diajukan pengunjung dengan lancar.
Warga emas dan orang kurang upaya (OKU) tidak ketinggalan dibantu untuk mendapatkan khidmat van khas untuk ke lokasi pameran.
Pengalaman ini dirasai sendiri penulis yang membawa ibu berkerusi roda buat kali pertama menjejakkan kaki ke MAHA. Sebaik ternampak penulis menolak ibu berkerusi roda, petugas sukarelawan meluru menghulurkan bantuan. Tidak sampai 10 minit, sebuah van tiba untuk membawa kami ke lokasi pameran.
Begitu juga ketika hendak pulang, petugas membantu kami mendapatkan van untuk ke parkir kenderaan.
Cuma penulis berharap agar setiap lokasi pameran pada masa akan datang dapat dilengkapi dengan laluan khas untuk kerusi roda kerana kebanyakan pavilion negeri tidak mesra OKU dan warga emas.
Bagaimanapun, penulis mendapati masih ada beberapa kelemahan dari segi kemudahan yang perlu ditambah baik pada penganjuran akan datang.
Secara keseluruhannya, penulis memberikan lima bintang terhadap penganjuran MAHA kali ini.
* Izwan Rozlin ialah wartawan meja am Sinar Harian