Hati-hati pilih restoran pamer 'no pork no lard'

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Isnin berhubung taktik restoran yang tiada status halal memancing pelanggan Islam dengan menggunakan promosi seperti 'Muslim friendly', 'halal food' dan 'pork free'.

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Umat Islam diingatkan supaya berhati-hati apabila memilih untuk makan di restoran yang hanya memaparkan tanda ‘no pork, no lard’.

Timbalan Mufti Wilayah Persekutuan, Jamali Mohd Adnan menjelaskan, terdapat sesetengah peniaga yang cuba mengelirukan pelanggan khususnya umat Islam apabila menggunakan istilah menyerupai halal.

Iklan
Iklan

"Tanda-tanda ini tidak semestinya menunjukkan makanan tersebut menepati syarat halal menurut syariah.

"Oleh itu penting untuk berhati-hati dan memastikan sijil halal yang sah bagi memastikan makanan yang dimakan benar-benar halal dan mematuhi standard syarak dalam penyediaan makanan,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Iklan

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, kebanyakan restoran popular yang tiada status halal di Lembah Klang masih berusaha memancing pelanggan Islam dengan menggunakan promosi seperti Muslim friendly, halal food dan pork free khususnya di media sosial.

Yang Dipertua Persatuan Kesihatan Ikram Malaysia (Ikram Health), Dr Mohd Afiq Mohd Nor berkata, aspek halal bukan sahaja berkaitan dengan larangan agama seperti arak dan daging babi tetapi juga kesihatan.

Iklan

Dalam pada itu Jamali menjelaskan, pemilihan tempat makan atau makanan yang mempunyai pengesahan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) atau institut halal luar negara yang diiktiraf amat dituntut dalam Islam kerana terbukti bahan yang digunakan tidak syubhah.

Beliau turut menyarankan pemilik restoran melakukan langkah proaktif dengan memohon sijil halal supaya tidak timbul kekeliruan dalam masyarakat terutama pengguna Muslim.

"Menjadi trend dalam kalangan rakyat Malaysia apabila ada tempat tular, ramai akan pergi tanpa buat penelitian sama ada makanan disajikan halal atau tidak.

"Oleh itu pengguna perlu berhati-hati, kena pastikan makanan yang dimakan halal, bersih dan mengikut syarak.

"Pemilik premis juga boleh elakkan restoran mereka menjadi bahan pertikaian tentang isu halal dan kalau ada sijil (halal), sudah pasti ramai akan datang makan tanpa was-was,” ujarnya.