Angka korban serangan udara Israel di Lubnan meningkat hampir 500

Iklan
Angka korban akibat serangan udara Israel di selatan dan timur Lubnan pada Isnin meningkat kepada 492 orang, termasuk wanita dan kanak-kanak. Foto Reuters

ANKARA - Angka korban akibat serangan udara Israel di selatan dan timur Lubnan pada Isnin meningkat kepada 492 orang, termasuk wanita dan kanak-kanak, lapor Agensi Anadolu memetik Kementerian Kesihatan Lubnan.

Seramai 58 wanita dan 35 kanak-kanak antara yang terkorban, selain 1,645 orang cedera, menurut kenyataan Kementerian Kesihatan Lubnan.

Iklan
Iklan

Menteri Kesihatan Firas Abiad berkata, sebelum ini, serangan udara Israel memaksa ribuan penduduk melarikan diri dari selatan Lubnan ke arah utara, terutamanya mereka yang berada berhampiran kawasan sempadan.

Pihak berkuasa Lubnan memaklumkan mereka telah membuka sekolah dan institusi lain bagi menempatkan orang awam akibat serangan udara Israel di selatan negara itu.

Iklan

Dalam satu kenyataan, Menteri Dalam Negeri Bassam Mawlawi berkata, beliau mengarahkan para gabenor untuk bekerjasama sepenuhnya dengan proses pemindahan besar-besaran dari wilayah selatan.

Tentera Israel pada Isnin mendakwa bahawa mereka menyerang lebih 1,100 sasaran Hizbullah di selatan dan timur Lubnan dalam tempoh 24 jam lepas.

Iklan

Lebih 1,400 jenis peluru digunakan tentera Israel dalam 650 serangan udara melalui jet pejuang mereka di Lubnan.

Hizbullah dan Israel terlibat dalam peperangan rentas sempadan sejak permulaan perang Israel di Gaza, yang kini meragut lebih 41,400 nyawa.

Masyarakat antarabangsa memberi amaran mengenai serangan di Lubnan, yang meningkatkan risiko konflik Gaza untuk merebak ke peringkat serantau.


Unifil beri amaran 'kesan dahsyat' jika ketegangan berterusan di Selatan Lubnan

BEIRUT - Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (Unifil) pada Isnin memberi amaran tentang 'kesan yang dahsyat' bagi seluruh rantau sekiranya serangan Israel di selatan Lubnan terus meningkat, lapor Agensi Anadolu.

Pada awal pagi Isnin, tentera Israel melancarkan serangan besar-besaran ke seluruh kawasan selatan dan timur Lubnan, menyebabkan ratusan terbunuh dan cedera.

Dalam satu kenyataan, Unifil menyuarakan kebimbangan terhadap keselamatan orang awam di selatan Lubnan di tengah-tengah pengeboman paling sengit oleh Israel sejak Oktober tahun lalu.

Ia memberi amaran bahawa peningkatan serangan dalam situasi berbahaya ini boleh membawa kesan yang meluas dan dahsyat, bukan sahaja kepada Lubnan, malah 'rantau yang lebih luas'.

Ketua Misi Unifil, Jeneral Aroldo Lazaro Saenz sedang berhubung dengan kedua-dua pihak, menekankan keperluan mendesak untuk meredakan ketegangan.

Usaha sedang dijalankan untuk mengurangkan ketegangan dan menghentikan serangan."

"Unifil sekali lagi mengulangi seruannya yang tegas untuk penyelesaian diplomatik dan mendesak agar mengutamakan nyawa orang awam serta memastikan mereka tidak terdedah kepada bahaya," menurut kenyataan itu.

Pihak berkuasa kesihatan Lubnan memaklumkan sekurang-kurangnya 274 orang, termasuk 21 kanak-kanak terbunuh dan 1,024 yang lain cedera akibat serangan Israel sejak pagi Isnin, dengan ribuan penduduknya terpaksa meninggalkan kediaman mereka.

Ketegangan antara Hizbullah dan Israel memuncak selepas serangan udara yang berlaku pada Jumaat, yang mengorbankan sekurang-kurangnya 45 orang, serta ramai lagi cedera di kawasan pinggir bandar Beirut.

Hizbullah mengesahkan bahawa sekurang-kurangnya 16 anggotanya, termasuk pemimpin kanan Ibrahim Aqil dan komander tertinggi Ahmed Wahbi, terbunuh dalam serangan udara Israel itu. - Bernama