SHAH ALAM - Karnival Jualan Gudang Awal Tahun Karangkraf 2020 bakal menjadi pusat hentian setempat dan 'syurga' kepada peminat buku tempatan mendapatkan pelbagai genre bahan bacaan berkualiti tinggi pada harga serendah 50 sen.
Pengurus Projek Jualan Gudang Awal Tahun Karangkraf 2020, Muhd Hazani Sukri berkata, bagi peminat buku, penganjuran karnival yang sudah memasuki hari keenam pastinya tidak akan dilepaskan bagi mendapatkan buku murah yang harga tidak masuk akal di samping pelbagai tawaran menarik.
Menurutnya, antara produk menarik kali ini ialah promosi tawaran Ensiklopedia Little Adib yang dikurangkan kepada RM180 daripada harga asal RM980.
"Kami menjangkakan produk Ensiklopedia Little Adib bakal mendapat sambutan luar biasa peminat buku terutama golongan berkeluarga.
"Ensiklopedia Little Adib merangkumi 27 buku dalam satu set, satu 'push car' dijadikan almari bergerak menyimpan buku, 6 set permainan teka-teki, poster ukur ketinggian dan satu buku catatan ibu bapa ditawarkan dengan harga serendah itu hanya sepanjang tempoh penganjuran karnival ini sahaja.
"Set ensiklopedia itu turut dilengkapi kelebihan mendidik kanak-kanak berusia 10 tahun ke bawah mengikut cara Rasulullah SAW, dilengkapi doa ringkas, panduan amalan kerohanian memuji Nabi Muhammad SAW dan ALLAH SWT dan menerangkan sifat keperibadian nabi, sekaligus menjadikannya produk wajib yang dimiliki setiap keluarga," katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Turut hadir Pegawai pemasaran Grup Buku Karangkraf, Afiffah Fathiyyah Mohd Yusof.
Sementara itu, Afiffah Fathiyyah berkata, karnival Jualan Gudang Awal Tahun Karangkraf 2020 kali ini turut dimeriahkan dengan penglibatan syarikat penyediaan maskot tempatan, Dunia Maskot dan beberapa pihak lain sebagai penaja.
Menurutnya, melalui ruangan Kid's Corner, kanak-kanak berusia empat hingga tujuh tahun yang hadir ke karnival itu berpeluang menyertai pertandingan mewarna dan memenangi pelbagai hadiah menarik.
"Kanak-kanak juga bakal dihiburkan dengan telatah lucu Tedi Maskot, maskot beruang comel ditaja syarikat Dunia Maskot yang akan memeriahkan majlis penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan.
"Lebih manis, kelibat Tedi Maskot juga memberi inspirasi kepada kami untuk menjadikan beruang sebagai ikon penganjuran karnival kali ini,"katanya.
Afiffah berkata, pihaknya menggalakkan lebih ramai pengunjung mengambil kesempatan menyerbu karnival yang diadakan di ruang pameran berhawa dingin yang luas dan selesa.
"Ruang parkir kereta juga disediakan selain banyak kaunter bayaran disediakan bagi memudahkan pengunjung dan tidak perlu menunggu lama.
"Bagi yang ingin solat juga tidak perlu risau kerana ada surau yang besar dan selesa di samping gerai menjual makanan,” katanya.