I-MInD pemangkin dasar pendidikan digital negara

Iklan
Timbalan Rektor Kanan, Pusat Kecemerlangan Akademik Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), Anis Alisya Abdullah (tengah) menyempurnakan gimik perasmian Persidangan Antarabangsa Minda Inovasi Dinamik (i-MInD) 2024.

IPOH - Persidangan Antarabangsa Minda Inovasi Dinamik (i-MInD) menjadi pemangkin terhadap kerangka Madani, Dasar Pendidikan Digital untuk memastikan pendidikan di negara ini kekal kompetitif dan relevan.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, persidangan diadakan dua tahun sekali itu menyediakan platform unik kepada pendidik untuk meneroka dan menjalankan penyelidikan sekali gus memperkukuh peranan mereka sebagai pakar dan pengamal refleksi.

Iklan
Iklan

Menurutnya, dengan menghimpunkan peserta dari dalam dan luar negara daripada pelbagai latar belakang, i-MInD mewujudkan ruang untuk pertukaran idea dan amalan terbaik yang melangkaui batasan sempadan.

"Persidangan ini bukanlah perhimpunan biasa, tetapi pemangkin kepada idea-idea transformasi.

Iklan

"Di sini, pendidik, penyelidik dan pembuat dasar boleh berkongsi pandangan, bekerjasama dalam projek-projek baharu, yang berpotensi membawa perubahan lebih bermakna," katanya sempena perasmian i-MInD 2024 di Pusat Konvensyen Casuarina di sini pada Isnin.

Timbalan Rektor Kanan, Pusat Kecemerlangan Akademik Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), Anis Alisya Abdullah menyantuni peserta yang mengikuti Persidangan Antarabangsa Minda Inovasi Dinamik (i-MInD) 2024 di Pusat Konvensyen Casuarina, Ipoh.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Rektor Kanan, Pusat Kecemerlangan Akademik Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), Anis Alisya Abdullah.

Iklan

Persidangan yang berlangsung selama tiga hari sehingga Rabu itu menghimpunkan lebih 700 peserta dari IPG seluruh negara, universiti awam dan swasta serta penyertaan universiti Indonesia.

Selain pameran, i-MInD yang dikelolakan IPGM ini juga menyaksikan pembentangan beberapa kertas penyelidikan seminar dan penyelidikan pendidikan antarabangsa.

Turut ditampilkan barisan tokoh pendidikan negara selaku panel slot i-MInD Sembang iaitu Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan, Shafruddin Ali Hussin; Naib Cancelor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman; Timbalan Pengarah Pusat Penyelidikan Kesejahteraan Mental, Fakulti Sains Sosial dan Seni Liberal Universiti UCSI, Profesor Dr Zahari Ishak dan Pensyarah IPG Kampus Ilmu Khas, Mohd Al Lamare Abu Husain sebagai moderator.

Fadhlina berkata, inovasi dan penyelidikan yang dipersembahkan mempunyai potensi untuk membentuk masa depan pendidikan bukan sahaja di Malaysia tetapi turut memberikan impak global.

Katanya, melalui penyelidikan dan inovasi berkesan dapat membantu Kementerian Pendidikan (KPM) merangka penyelesaian yang mampu menangani pelbagai cabaran dalam bilik darjah seterusnya memperkasa ekosistem pendidikan secara menyeluruh.

"Aspek penting dalam strategi pendidikan kita adalah pembinaan kepercayaan yang teguh dalam kalangan pendidik, murid, ibu bapa, dan masyarakat.

"Ini memerlukan usaha berterusan dalam memupuk komunikasi yang terbuka, memastikan ketelusan, dan mengekalkan akauntabiliti.

"Kerjasama erat antara semua pihak berkepentingan merupakan kunci kejayaan sistem pendidikan kita," katanya.