SERDANG - Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro-Pelancongan Malaysia (MAHA) 2024 bukan sahaja berjaya menarik lima juta pengunjung sepanjang 12 hari penganjurannya bahkan turut menunjukkan peningkatan jumlah pembelian benih, anak pokok dan ternakan.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, jualan paling tinggi adalah melibatkan anak pokok durian, rambutan dan cempedak.
Menurutnya, jualan benih pokok berkenaan dianggarkan boleh mencakupi kawasan tanaman seluas 839 hektar.
"Ini merupakan indikator positif bahawa minat rakyat terhadap sektor pertanian semakin pesat berkembang. Ia memperlihatkan kesedaran yang mendalam terhadap kepentingan keterjaminan makanan demi masa depan negara.
"Angka ini bukan sekadar statistik, ia cerminan bahawa MAHA terus menjadi acara utama negara dan memikat perhatian ramai.
"Ia juga mengukuhkan peranannya sebagai platform unggul untuk memacu inovasi, pendidikan dan peluang perniagaan selain membina sektor pertanian berdaya saing, mampan dan bersedia untuk masa hadapan," katanya ketika berucap dalam Majlis Penutup MAHA 2024 pada Ahad.
Jelasnya untuk haiwan ternakan pula baka lembu jenis Brahman menerima tempahan dan jualan bernilai RM2 juta.
Dalam pada itu, beliau berharap supaya golongan muda terus meneroka bidang pertanian sebagai kerjaya yang berpotensi besar untuk mengubah nasib dan kehidupan keluarga mereka.
"Kepada anak-anak muda, saya yakin lawatan anda ke MAHA pada kali ini telah merubah persepsi anda semua terhadap bidang ini.
"Berorientasikan teknologi terkini, saya percaya anda semua telah sedar bahawa pertanian bukan lagi bidang pekerjaan yang bersifat 3D (kotor,bahaya dan susah),” katanya.
Mohamad turut menzahirkan penghargaan kepada penglibatan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah yang buat julung kalinya menampilkan 170 usahawan desa untuk mempromosikan produk makanan dan minuman, kecantikan, kesihatan dan kraftangan.
MAHA 2024 yang berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini turut menyaksikan 139 Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Perjanjian (MoA) bernilai RM7.2 bilion berjaya ditandatangani.
Mohamad berkata, Agrobank juga merekodkan potensi pembiayaan dan padanan perniagaan berjumlah RM1.38 bilion.
"Sebanyak 9,500 pelawat perdagangan dan 150 pempamer dari seluruh dunia direkodkan dalam penganjuran MAHA kali ini," katanya.
Dalam pada itu, di bawah platform MAHA Go Global sebanyak tiga persidangan diadakan iaitu 2nd Annual Food Security Asia Congress, Trade Export Conference atau TEX Talk dan Konvensyen Himpunan dan Deklarasi Usahawan Agro MADANI 2024.
Kesemua persidangan berkenaan menghimpunkan pakar termasuk tokoh terkemuka industri tempatan dan luar negara seperti Korea Selatan, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Indonesia, Australia, United Kingdom, Amerika Syarikat, China, New Zealand dan Itali.
Peniaga pisang goreng bawa pulang Axia
Sementara itu, kunjungan kali ketiga ke MAHA pada tahun ini membawa tuah kepada seorang peniaga pisang goreng apabila dinobatkan sebagai pengunjung kelima juta sekali gus layak membawa pulang sebuah Perodua Axia.
Azman Awang, 51, dari Taman Harmoni, Kajang berhasrat menghadiahkan kereta tajaan Agrobank itu kepada isterinya.
"Isteri saya seorang guru, dia gunakan kereta berkenaan ke sekolah pada setiap hari,” katanya ketika ditemui selepas menerima hadiah pada Majlis Penutup MAHA 2024 pada Ahad.
Azman hanya memenuhi permintaan empat anak yang mahu ke MAHA untuk menyaksikan pelbagai haiwan yang dipamerkan sepanjang 12 hari MAHA dianjurkan.
"Setiap hari mereka ajak saya ke MAHA, jadi hari akhir saya tak berniaga dan luangkan masa untuk membawa mereka melihat haiwan ternakan yang ada,” katanya.
Azman berkata, ketika sedang menunggu bas, dia didatangi dua pegawai memaklumkan menang hadiah misteri.
"Memang terkejut ketika itu kerana sangkakan 'scammer' tetapi kemudian baru tahu menang sebuah kereta," katanya.
Reaksi
"Kemudahan pengangkutan untuk warga emas di MAHA mudah didapati dan layanan daripada petugas amat membantu dan mesra.” – pesara, Rozlin Saad, 64.
"Perkhidmatan bas yang disediakan memudahkan pengunjung untuk bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain.” pekerja swasta, Mohd Nasran Abdul Halim, 49
"Banyak tempat menarik boleh dikunjungi pada MAHA 2024 yang boleh menambah pengetahuan mengenai ilmu pertanian,” - penjawat awam, Rasyidah Abd Mutalib,40
"Kehadiran pengunjung yang ramai di dua reruai membantu jualan produk kecantikan keluaran syarikat kami,” - pengurus jualan, Rosfizawati Shafie, 41
"Jualan popia beku dan aiskrim berasaskan nanas mencecah nilai jualan kira-kira RM20,000,” -usahawan Roslina Ngah, 43.
"Jualan kek lapis dan banji roll begitu laris menyebabkan kami perlu menambah beberapa kali stok jualan,” - usahawan, Ismail Napi, 38